MELAKA: Calon Perikatan Nasional (PN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen memberitahu dirinya bukan kontak rapat kepada ahli Srikandi parti itu yang dikesan positif Covid-19, sehingga menyebabkan bilik gerakannya diarahkan tutup, semalam.
Katanya, beliau secara peribadi tidak pernah berjumpa dengan petugas berkenaan sehingga kejadian tersebut berlaku.
“Saya difahamkan Srikandi berkenaan pernah hadir di situ (bilik gerakan), namun saya secara peribadi tidak pernah berjumpa dengannya. Saya bukan kontak rapat dengan beliau.
“Mengenai penutupan bilik gerakan itu, ia adalah prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan bagi mengelak penularan wabak tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita di Telok Mas di sini hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Bilik Gerakan PN DUN Telok Mas ditutup selama 14 hari bermula semalam selepas dikesan terdapat kes positif Covid-19 di lokasi berkenaan.
Notis penutupan oleh Kementerian Kesihatan dilihat ditampal dengan tertera tarikh kuat kuasa sehingga 26 November depan.
Mengulas lanjut mengenai tindakan kompaun RM10,000 yang dikenakan atas kesalahan tidak meletakkan pengimbas suhu, Mohd. Rafiq yang juga merupakan Pengerusi PN Melaka mengakui, kejadian tersebut disebabkan kecuaian petugas.
“Sebenarnya kita ada alat pengimbas suhu itu tetapi saya dapat maklumat, petugas kita lupa untuk meletakkannya di hadapan pintu masuk premis.
“Kita juga ada menyediakan kod QR, kita faham mengenai SOP ini, namun kejadian itu disebabkan kecuaian pekerja,” jelasnya.
Tambanya, pihaknya mengakui kesalahan dilakukan dan akan menjelaskan kompaun tersebut.