CALIFORNIA: Bekas petinju heavyweight, Eric Esch berasakan dirinya mampu menewaskan legenda Mike Tyson menerusi tumbukan knockout (KO) jika kedua-duanya berpeluang berentap di dalam gelanggang.
Selepas membuat kemunculan semula dengan menentang Roy Jones Jr. tahun lalu, Tyson, 55 melaungkan kesediaan untuk menerima beberapa pertarungan lagi.
Cabaran Tyson itu sekali gus mengaitkan dia bakal menentang beberapa petinju terkenal termasuk bekas musuh tradisinya, Evander Holyfield.
Esch, yang terkenal dengan julukan Butterbean berkata, dia tidak rasa akan mengambil masa yang lama untuk menewaskan Tyson.
“Saya fikir Mike akan KO. Saya fikir saya tidak perlu mengambil masa yang lama untuk melakukan tumbukan itu.
“Itu pun jika dia mahu datang berlawan dengan saya, dan saya terpaksa hadir untuk menentangnya.
“Saya belum pernah tewas secara KO, manakala Mike pernah,” kata Esch yang kini berusia 55 tahun.
Sepanjang karier hampir dua dekad, Esch mengumpul rekod 77-10-4 dengan 58 kemenangan diperoleh menerusi pukulan KO.
Begitupun, nama Esch tidak begitu menyerlah berbanding petinju sensasi, Tyson yang memiliki karakter ganas.- AGENSI