JOHOR BAHRU: Johor yakin mampu mencapai kadar pertumbuhan ekonomi sekitar lima hingga tujuh peratus tahun depan berdasarkan pelbagai faktor ekonomi yang dilihat kembali rancak setelah memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, walaupun angka berkenaan adalah satu jumlah yang optimistik, namun pihaknya percaya ia mampu dicapai.
Menurut beliau, antara kaedah untuk memastikannya terlaksana adalah dengan mengekalkan pelaburan asing sedia ada selain menarik masuk pelaburan baharu.
“Ketika ini kita masih tidak tahu sama ada Covid-19 akan berakhir dalam tempoh terdekat atau tidak, kerana kes baharu akan terus menaik dan menurun.
“Namun kita berpegang kepada prinsip bahawa pelaburan sedia ada perlu dikekalkan yang mana secara tidak langsung ia memberi peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.
“Berdasarkan pertemuan dengan duta daripada beberapa negara antaranya Jepun, Jerman, Finland dan Perancis, mereka menyatakan komitmen untuk teruskan pelaburan di negeri ini. Jadi berlandaskan faktor berkenaan saya percaya kita mampu capai pertumbuhan ekonomi antara 5 hingga 7 peratus tahun depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi PRE-Ihsan Johor 3.0 2021 kepada Petugas Info On Wheels (IOW) Jabatan Penerangan Johor dan Pengamal Media Johor di Auditorium RTM Johor, di sini.
Sementara itu, mengulas berhubung Bajet Johor 2022, Hasni memberitahu, ia akan memberi tumpuan kepada menggerakkan pelbagai sektor ekonomi secepat mungkin bagi memberi manfaat kepada rakyat di seluruh negeri yang terkesan dengan pandemik Covid-19.
Katanya, selain penumpuan kepada pelaburan asing, tumpuan turut diberi kepada golongan pelabur, pengusaha industri kecil dan sederhana, golongan yang menganggur dan mereka yang memerlukan.
“Kerajaan negeri yakin dapat memulihkan semula sektor ekonomi dan membantu rakyat kerana kesukaran dihadapi mereka ketika ini bukan bersifat kekal.
“Kami komited dan akan berusaha mengambil langkah yang perlu bagi membantu rakyat terkesan. Jika pakej rangsangan adalah kaedah terbaik, kita akan teruskan dan perluaskan kepada golongan yang menerima bantuan.
“Kalau tidak pun nilai bantuan akan ditambah dan dapat bantu lebih ramai berdasarkan kemampuan kerajaan negeri melalui Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) 3.0 yang mencakupi banyak pihak,” ujarnya.
Tambah Hasni lagi, pihaknya juga akan memberi perhatian kepada isu pengangguran khususnya yang melibatkan individu kehilangan kerja dalam tempoh pandemik Covid-19 yang telah berlarutan hampir dua tahun ini.
“Kita maklum jika mengikut statistik kadar pengangguran Johor adalah sekitar 4 peratus, walaupun lebih rendah berbanding kadar nasional namun ia tetap merupakan satu isu yang perlu kita tangani,” katanya lanjut. – UTUSAN