GEORGETOWN: Terperangkap dalam kesesakan di pusat bandar dan kemudiannya terpaksa beratur panjang pula untuk menikmati hidangan nasi kandar tidak menjadi halangan buat pemburu makanan di Pulau Pinang.
Dikenali sebagai syurga makanan, cuti musim perayaan sempena Deepavali menjadikan pusat bandar dan lokasi makanan popular di bahagian pulau atau lebih dikenali sebagai Tanjung bagi penduduk tempatan sesak dengan kebanjiran pengunjung.
Tinjauan di beberapa restoran popular di pusat bandar mendapati pengunjung tidak menghiraukan keadaan cuaca panas dan sanggup beratur panjang untuk mendapatkan makanan kegemaran masing-masing.
Bagaimanapun, pengunjung didapati masih lagi memakai pelitup muka walaupun ada di antara mereka kelihatan gagal mematuhi penjarakan fizikal ketika beratur menanti giliran membeli makanan.
Bagi pengunjung dari Johor, Mohd. Izwan Abdullah, 40, dia tidak kisah untuk beratur bagi mendapatkan sepinggan nasi kandar di restoran kegemarannya kerana hampir dua tahun dia tidak berkunjung ke Pulau Pinang ekoran pandemik Covid-19.
“Saya beratur 30 minit sebelum mendapat giliran untuk membeli nasi kandar.
“Bagi saya ia berbaloi kerana di Johor sukar untuk mendapatkan nasi kandar dengan rasa asli Pulau Pinang,” katanya di sini semalam.
Seorang lagi pengunjung dari Kedah, Azizul Ariffin Abdul Karim, 35, dia dan keluarga memilih untuk makan di hotel setelah membeli nasi beriani di pusat bandar kerana jumlah pengunjung terlalu ramai di situ.
Katanya, di sebalik keterujaan dia dan ahli keluarga untuk menikmati makanan popular di Pulau Pinang, mereka masih bimbang dengan wabak Covid-19.
“Hari ini saya lihat terlalu ramai pelanggan di restoran popular ini, jadi saya membuat keputusan membungkus nasi kandar untuk dibawa pulang makan di hotel.
“Wabak Covid-19 masih ada, jadi keselamatan keluarga menjadi keutamaan walaupun kami sedang seronok bercuti,” katanya.