LONDON : Penyerang Liverpool, Diogo Jota menyifatkan Mohamed Salah memiliki kualiti yang sama dengan pemenang lima kali anugerah Ballon d’Or, Cristiano Ronaldo.
Salah mempamerkan aksi menakjubkan bersama skuad Reds musim ini dan diiktiraf oleh beberapa penganalisa bola sepak dan wartawan antara calon pemain terbaik dunia ketika ini.
Penyerang Mesir itu telah meledak 17 gol dari 14 perlawanan dalam semua pertandingan musim ini dan Jota kini membandingkan rakan sepasukannya setaraf dengan Ronaldo yang juga bintang Manchester United.
“Dia (Salah) pemain yang hebat dan bertaraf dunia. Dia mempamerkan teknik serta kebolehannya kepada dunia. Dia meledak gol dengan gembira. Gol menarik, jaringan peribadi dan bagi kami ini amat membantu kerana kami memerlukan seseorang di padang yang dapat menentukan keputusan perlawanan.
“Bagi pasukan lawan pula mereka tahu mereka perlu lebih berhati-hati secara tidak langsung kami dapat memanfaatkan ruang itu kerana lawan terlalu bimbang dengan Salah.
“Apabila saya beraksi buat skuad kebangsaan bersama Ronaldo dan saya ada juga terfikir untuk meletakkan dia (Salah) mengetuai jentera serangan, sekalipun Ronaldo sudah melakukannya sejak sekian lama.
“Apabila mereka beraksi di padang mereka sangat bahaya dan boleh menjaringkan gol bila-bila masa. Pada saya ia sangat bermanfaat ketika saya boleh memerhati dan belajar daripada mereka,” kata Jota.
Dalam pada itu, Salah setakat ini belum menyatakan persetujuan untuk lanjutan kontrak baharu di Liverpool meskipun kontrak asalnya akan berakhir pada musim panas 2023. – AGENSI