KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan memberi fokus untuk membangunkan bandar pintar bagi memacu pertumbuhan ekonomi Sabah melalui pembudayaan digital.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, beberapa kawasan akan diberi tumpuan untuk dibangunkan selaras dengan strategi pelan strategik kerajaan digital.
Menerusi bandar pintar itu, usaha meningkatkan kualiti hidup rakyat dapat dipertingkatkan dengan wujudnya ekosistem digital di kawasan berkenaan.
Ia selaras dengan teras ketiga hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) iaitu jaringan infrastruktur dan kelestarian hijau.
“Strategi yang digariskan di bawah teras ini meliputi usaha membina dan menambah baik jaringan infrastruktur darat, laut, udara dan infrastruktur komunikasi selain melaksanakan pendigitalan perkhidmatan serta meningkatkan akses dan kesamarataan dalam menikmati kemudahan infrastruktur,” katanya selepas melancarkan Aplikasi E-Jariah Sabah di Dewan Bankuasi Utama, Menara Kinabalu hari ini.
Katanya, sejajar dengan pembudayaan digital, Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS) membangunkan aplikasi E-Jariah Sabah dengan kerjasama TM One iaitu cabang perniagaan Telekom Malaysia Berhad.
Hajiji berkata, ini adalah aplikasi pertama yang dibangunkan PBNS dan ia akan memudahkan orang ramai membuat sumbangan jariah atau bersedekah hanya melalui aplikasi telefon pintar.
“Saya percaya dengan adanya aplikasi ini, ia memudahkan umat Islam secara keseluruhannya terutama yang bekerja menggunakan aplikasi ini dengan membuat potongan gaji secara bulanan dan mengikut kemampuan masing-masing kepada PBNS.
“Secara tidak langsung, usaha ini akan dapat membantu PBNS untuk mengagihkan lebih banyak,” katanya.
Menurut Hajiji, penularan pandemik Covid-19 menuntut masyarakat untuk hidup dalam norma baharu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan mengubah cara berurusan. Penggunaan aplikasi digital menjadi alternatif baharu dalam memenuhi keperluan seharian.
“Peranan dan penggunaan teknologi digital telah mengambil alih dan membantu menyelesaikan urusan seharian kita dengan selamat, mudah dan pantas menerusi pelbagai aplikasi digital yang boleh diakses melalui telefon mudah alih,” katanya.