LONDON: Tindakan Cristiano Ronaldo yang terus menuju ke terowong selepas Manchester United melakar keputusan seri 1-1 dengan Chelsea di Stamford Bridge, semalam dilihat seperti ada sesuatu tidak kena.
Kemungkinan besar, ia berkaitan dengan keputusan pengurus sementara United, Michael Carrick yang memulakan perlawanan dengan meletakkan Ronaldo di bangku simpanan buat kali kedua musim ini sebelum dimasukkan minit ke-64.
Kali pertama bintang Red Devils itu memanaskan bangku simpanan adalah ketika bertemu Everton, Oktober lalu yang turut berakhir dengan keputusan 1-1.
Situasi itu sama seperti berlaku di Old Trafford bulan lalu apabila pemenang anugerah Ballon d’Or sebanyak lima kali itu tiada ‘mood’ untuk berjabat tangan atau bertepuk tangan bersama peminat sebaliknya segera beredar dari padang.
Beberapa wartawan yang berada di Stamford Bridge sempat menyaksikan bekas bintang Real Madrid dan Juventus itu terus menuju ke terowong sebaik wisel penamat ditiup yang menyaksikan Red Devils mengutip satu mata.
Carrick yang menggalas tugas ditinggalkan bekas pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer berkata, beliau mengambil keputusan merehatkan Ronaldo untuk mengubah sedikit keadaan.
Dia mengakui telah berbincang secara baik dengan bekas rakan sepasukannya itu sebelum bermulanya perlawanan.
“Beberapa pertukaran dilakukan untuk melakukan sedikit perubahan. Ronaldo mungkin nama paling menonjol tetapi ia hanyalah perancangan permainan.
“Saya sempat bercakap dengan Ronaldo dan akhirnya kami ambil keputusan seperti hari ini (semalam),” jelasnya. – AGENSI