PUTRAJAYA: Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM6 bilion bagi pemerkasaan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) sebagai persiapan menuju ke arah Revolusi Perindustrian 4.0.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, usaha ini bagi melahirkan modal insan berkualiti dan berkemahiran tinggi yang menjadi antara fokus Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).
Menurut beliau, kementeriannya merancang untuk melaksanakan projek pendigitalan IR4.0 di Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) dengan permulaan projek kajian berkaitan IR 4.0 bagi mengenal pasti keperluan sebenar dan tahap kesediaan ILKBS bagi pelaksanaan projek pendigitalan IR 4.0.
“Beberapa skop cadangan kajian seperti program retrofitting dan menaik taraf peralatan latihan sedia ada dengan tambahan teknologi IR 4.0 dan pembangunan makmal pintar berteraskan teknologi IR 4.0.
“Begitu juga penyediaan latihan persediaan kepada tenaga pengajar dan pembangunan kurikulum pendigitalan berasaskan IR 4.0 akan diberi perhatian dalam kajian ini,” katanya ketika merasmikan Program SKIL’21 anjuran Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia (BPKB), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) secara dalam talian di Putrajaya hari ini.
SKIL’21 pada kali ini menyasarkan penyertaan seramai 500 tenaga pengajar ILKBS dengan enam orang panel dijemput untuk perkongsian kajian serta input berkaitan teknologi pendigitalan dan perkembangan terkini dalam sektor latihan kemahiran.
Ahmad Faizal berkata, bagi menjayakan agenda pendigitalan dalam latihan kemahiran,komponen terpenting adalah tenaga pengajar.
“Kaedah pengajaran dan pembelajaran berasaskan teknologi digital ini masih lagi eksklusif dalam kalangan golongan tertentu seperti pengajar pakar sahaja.
“Justeru semua tenaga pengajar ILKBS perlu bersama-sama menjadi lebih aktif berinovasi, memainkan peranan penting dalam mengaplikasikan pengajaran dan pembelajaran dalam talian bagi memastikan tenaga pengajar dan juga pelajar TVET ILKBS tidak tercicir dari teknologi semasa,” ujarnya.
Beliau menambah, elemen gamifikasi juga boleh diterapkan secara maya bagi mempertingkatkan kualiti pengalaman pembelajaran dalam talian kepada golongan pelajar.
Jelasnya lagi, kurikulum pembelajaran perlu sentiasa dikemas kini dengan memasukkan elemen digital untuk memastikan proses pembelajaran lebih menarik dan dapat disampaikan secara efektif.
“Komponen terpenting dalam proses pembelajaran TVET ialah pembangunan kemahiran secara hands-on.
“Pelaksanaan pendigitalan sepenuhnya dalam program TVET tidak dapat menyokong penguasaan kemahiran pelajar kerana 70 peratus pembelajaran adalah berdasarkan elemen praktikal,” katanya. -UTUSAN ONLINE