RM4.6 bilion untuk projek pembangunan di Johor 2022

RM4.6 bilion untuk projek pembangunan di Johor 2022

MUSTAPA Mohammed (kanan) bersama Hasni Mohammad ketika menghadiri Mesyuarat Sesi Roadshow Pasca RMK-12 di Kota Iskandar. - FOTO/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM4.6 bilion untuk melaksanakan sebanyak 434 projek pembangunan di negeri ini termasuk 79 projek baharu menerusi Bajet 2022.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ini termasuklah beberapa projek mega berimpak tinggi yang mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi Johor di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Katanya, antara projek tersebut termasuklah Landasan Berkembar Elektrik Gemas ke Johor Bahru dan Projek Rapid Transit System Link (RTS Link).

“Saya terlibat dalam program pembangunan dan antara projek-projek lain yang akan dibangunkan di negeri ini adalah pembinaan hospital baharu di Pasir Gudang.

“Selain itu, antara projek lain yang turut dirancang adalah pembinaan sekolah baharu 36 bilik darjah di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Putra 2, Kulai dan Program Perumahan Rakyat (PPR) Ulu Tiram,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Sesi Roadshow Pasca RMK-12 di Kota Iskandar, di sini hari ini. Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad.

Sementara itu, Mustapa turut memberitahu hubungan erat antara kerajaan Persekutuan dan negeri akan membantu mempercepat perancangan pembangunan yang dilaksanakan khususnya di bawah RMK-12.  

“Johor merupakan antara negeri utama yang menyumbang kepada Keuntungan Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan purata tahunan sebanyak 3.1 peratus melebihi purata nasional sebanyak 2.7 peratus setahun dalam tempoh 2016 hingga 2020.

“Perkara ini menjadikan Johor sebagai antara negeri penyumbang utama kepada ekonomi negara selain Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Sarawak di mana Johor juga merupakan pintu masuk utama negara di selatan tanah air khususnya buat pelancongan.

“Pertumbuhan ekonomi Johor diterajui sektor perkhidmatan khususnya dalam subsektor perdagangan borong dan runcit; makanan dan minuman; penginapan sebelum diikuti sektor pembuatan khususnya dalam produk elektrik, elektronik dan optikal,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu kadar kemiskinan mutlak di Johor adalah lebih rendah berbanding kadar kemiskinan mutlak kebangsaan iaitu 3.9 peratus pada 2019 berbanding 5.6 peratus berdasarkan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES BA) 2019.

“Sistem e-Kasih akan disemak semula dan diperkukuh serta langkah pemutihan akan dibuat dalam mengenal pasti, melaksana dan memantau program pembasmian kemiskinan bagi meningkatkan ketelusan dan ketepatan data.

“Pembangunan Pangkalan Data Perlindungan Sosial (PDPS) dibuat bagi mengenal pasti kumpulan sasar dan membangunkan profil isi rumah miskin serta menyediakan bantuan sosial yang disepadukan melalui pembangunan untuk menambah baik program membasmi kemiskinan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN