JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri menjangkakan menerima pelaburan sekurang-kurangnya RM10 bilion dalam tempoh enam bulan pertama pada tahun depan susulan pembukaan semula sempadan menerusi pelaksanaan Laluan Perjalanan Vaksin (VTL) Malaysia-Singapura.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Mohd. Izhar Ahmad berkata, jumlah itu melibatkan peningkatan 20 peratus bagi aktiviti pelaburan di negeri ini.
Katanya, sasaran itu mampu dicapai menerusi pembukaan lebih banyak laluan bagi kategori VTL darat selain kepada perkhidmatan lain dalam kadar segera.
“Sudah tentu (pelaburan akan meningkat), pembukaan VTL Darat ini bukan sahaja dimanfaatkan oleh rakyat Malaysia di Kota Singa dan pelancong asing malah membawa masuk pelabur asing.
“Sebelum sempadan dibuka, kita sudah ada prospek (syarikat) yang berminat untuk melabur ke negeri ini tetapi tergendala disebabkan aktiviti rentas sempadan masih tidak dibenarkan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika itu.
“Jadi, pengenalan skim ini (VTL Darat), kita boleh jangka sekurang-kurangnya 20 peratus peningkatan pelaburan boleh dicapai dalam enam bulan pertama pada tahun hadapan,” katanya pada Anugerah Koperasi Terbaik Negeri Johor 2020, di sini hari ini.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong merasmikan pembukaan VTL darat di Tambak Johor di sini.
Ismail Sabri berkata, beliau juga telah berbincang dengan rakan sejawatannya mengenai langkah-langkah tambahan yang akan dilakukan oleh kedua-dua negara berhubung perjalanan rentas sempadan antara Malaysia dan Singapura.
Dalam pada itu, Mohd. Izhar berkata, pihaknya juga berpendapat pembukaan semula sempadan menerusi VTL itu turut menjadi salah satu alternatif terbaik dalam membantu menaikkan semula ekonomi rakyat terutama golongan usahawan di negeri ini. – UTUSAN