PONTIAN: Kira-kira 2,000 pengunjung hadir ke Taman Negara Johor Tanjung Piai (TNJTP), di sini bagi melihat sendiri fenomena air pasang besar yang memasuki taman tersebut bermula pukul 11 pagi tadi.
Kanak-kanak merupakan golongan paling teruja dan gembira kerana dapat bermain ‘air terjun’ semula jadi di anak tangga menuju ke taman tersebut yang hanya berlaku ketika air pasang besar menyusuri taman tersebut.
Pengunjung dari Kota Tinggi, Saffari Abu Bakar, 38, bersama isteri, Napsiah Othman, 35, dan tiga anak mereka antara yang tidak melepaskan peluang melihat fenomena terbabit.
Katanya, kunjungan pertama kali ke taman negara itu memberi pengalaman mengujakan kerana sebelum ini hanya dapat melihat kejadian tersebut di kaca televisyen atau media sosial sahaja.
“Tidak sangka begitu ramai orang datang pada pagi ini untuk sama-sama melihat fenomena air pasang yang jarang ditemukan di tempat lain,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Turut teruja melihat fenomena itu ialah empat beradik dari Kota Bharu, Kelantan yang telah merancang untuk berkunjung ke taman negara tersebut bagi melihat dengan lebih dekat fenomena air pasang.
Mohamad Hairi Ismai, 35, berkata, dia bersama tiga adiknya tiba dari Kota Bharu semalam dan menginap di sebuah hotel berdekatan sebelum bergerak ke Tanjung Piai bagi melihat kejadian berkenaan.
“Tempat ini amat cantik di tambah ketika kami sampai sedang berlaku fenomena air pasang besar yang diikuti dengan air terjun semula jadi yang menambah tarikan kepada pengunjung,” katanya yang bertugas sebagai Juru X-Ray di Hospital Kuala Lumpur.
Sementara itu, pasangan suami isteri dari Melaka, Syafiq Sanusi, 34, dan Siti Noraini Hussin, 30, bersama dua anak mereka turut memilih TNJTP sebagai lokasi percutian mereka setelah mendapat maklumat daripada media massa.
Katanya, tidak pernah dia melihat keadaan seperti di TNJTP apabila limpahan air yang berlaku telah membentuk seperti air terjun yang tentunya menarik minat terutama kanak-kanak untuk bermain.
“Alhamdulillah sampai juga hajat kami untuk ke sini sempena cuti panjang pada hujung minggu dan ia merupakan satu kenangan terindah kepada saya dan keluarga ,” ujarnya yang bertugas sebagai pembantu tadbir di sebuah agensi kerajaan.
Sementara itu, Pengurus merangkap Pegawai Penyelidik TNJTP, Lili Tokiman berkata, hampir 6,000 pengunjung direkod melawat taman negara tersebut hari ini bagi melihat fenomena air pasang besar yang bermula kelmarin.
Katanya, berdasarkan makluman Jabatan Laut Malaysia (JLM), paras air masih terkawal dengan mencecah 3.4 meter (m) dari paras laut dan tidak merbahaya kepada para pengujung yang datang.
“TNJTP merupakan lokasi utama bagi melihat air pasang besar kerana jika berlaku, air akan terus menyusuri kemudahan yang ada dan kejadian itu sentiasa ditunggu-tunggu oleh pengunjung. Namun, kawalan dan pemantauan akan terus dilakukan oleh kakitangan bagi memastikan keselamatan pengunjung,” katanya. – UTUSAN