Reman lelaki bunuh teman wanita disambung tujuh hari - Utusan Malaysia

Reman lelaki bunuh teman wanita disambung tujuh hari

SUSPEK kes bunuh seorang wanita yang mayatnya ditemukan ditanam di tepi Sungai Jebong, Kuala Sepetang (tengah) dibawa ke Mahkamah Majistret Taiping, Perak, bagi mendapat perintah sambung reman hari ini. 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang lelaki yang juga orang pengawasan polis (OPP) disambung tahanan reman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat wanita reput di tepi Sungai Jebong, Kuala Sepetang dekat Taiping, minggu lalu.

Lelaki berusia 34 tahun itu disambung reman sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Datuk Anuar Othman berkata, suspek sebelum ini direman tujuh hari sebelum disambung seminggu lagi untuk siasatan bermula esok.

Katanya, sambung reman itu bagi membolehkan polis melengkapkan kertas siasatan.

“Siasatan ke atas suspek dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan sebaik sahaja kertas siasatan lengkap, kita serahkan kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, polis menahan seorang lelaki di Simpang, Taiping 29 Oktober lalu lalu berikutan penemuan mayat wanita di tepi Sungai Jebong.

Lelaki yang juga penganggur itu ditahan selepas dua hari penemuan mayat mangsa. 

Mayat wanita itu ditemukan seorang pemandu lori setelah menjumpai tulang disyaki kaki manusia dalam keadaan tidak sempurna dan reput.

Turut dijumpai dalam bungkusan kain yang ditanam ialah rangka tulang dipercayai badan manusia dari bahagian kepala hingga pinggang dalam keadaan reput sepenuhnya.

Mangsa dianggarkan mati dalam tempoh antara dua atau empat minggu lalu.

Berdasarkan soal siasat, lelaki itu mengaku bergaduh dengan wanita berusia 31 tahun yang juga teman wanitanya di sebuah rumah sebelum memukul mangsa sehingga mati. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN