TELUK INTAN: Sesi persekolahan yang bermula hari ini amat bermakna buat seorang pelajar perempuan, Nurallesyah Balqis Mohd. Azman, 17, apabila terpaksa mengambil alih tanggungjawab sebagai ibu dan bapa menguruskan keperluan persekolahan lima adiknya dan seorang lagi yang berusia empat tahun.
Tugas menjaga enam adiknya itu kini digalas oleh Nurallesyah Balqis selepas ibunya, Noor Suidah Omar, 43, meninggal dunia akibat pelbagai penyakit seperti darah tinggi, kencing manis dan buah pinggang pada 21 Jun 2019.
Bapanya, Mohd. Azman Tabri, 42, pula meninggal dunia pada Ogos 2019 selepas menjalani pembedahan bisul akibat jangkitan kuman.
“Sudah menjadi rutin harian saya menyediakan keperluan persekolahan adik-adik semasa sesi persekolahan biasa sebelum ini.
“Apabila sekolah dibuka semula hari ini, saya akan pastikan mereka benar-benar bersedia dan lengkap semuanya untuk ke sekolah. Selain memastikan pakaian seragam sekolah, saya juga menyediakan sarapan untuk mereka.
“Saya puas dapat melihat adik-adik saya ke sekolah dengan sempurna,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Bahagia, di sini semalam.
Lima adiknya yang masih bersekolah ialah Nur Alleyana Darwina, 14; Nurallesyazwani Sofea, 12; Nurallyqalesyah Damia, 10; Nurallyfarisyah Najwa, 8, dan Nurallyshafirah Umairah, 6.
Sementara Muhammad Harraz Erfan, 4, akan dijaga oleh emak dan bapa saudara tatkala Nurallesyah Balqis dan lima adiknya pergi sekolah.
Menurut Nurallesyah Balqis, sejak ibu bapanya meninggal dunia, mereka dijaga oleh emak dan bapa saudaranya.
Katanya, emak dan bapa saudaranya menjadi tempat dia dan enam adiknya menumpang kasih sayang, mengadu masalah malah makan pakai serta didikan agama juga turut dijaga.
“Bapa saudara juga menghantar kami ke sekolah setiap hari, walaupun penat bapa saudara saya mengusahakan sawah padi di Sungai Manik, dia tidak pernah mengabaikan kami adik beradik.
“Begitu juga emak dan bapa saudara yang lain mengambil berat dan membantu kami,” katanya penuh syukur.
Sementara itu, emak saudara Nurallesyah Balqis, Nazlina Omar, 38, berkata, menjadi tanggungjawabnya dan suami menjaga tujuh beradik itu selepas kematian ibu bapa mereka.
“Saya menjaga mereka seperti anak sendiri, Allah beri kami tujuh anak angkat,” katanya.
Dalam pada itu, Nazlina berharap ada pihak yang dapat membantu untuk menambah ruang di rumahnya untuk keselesaan tujuh beradik itu.
“Rumah ini sempit, tidak selesa untuk mereka buat kerja sekolah. Saya harap ada yang dapat bantu membesarkan bilik atau menambahkan satu lagi bilik untuk keselesaan mereka,” katanya. – UTUSAN