Remaja lumpuh gembira impian naik kereta api tercapai

Remaja lumpuh gembira impian naik kereta api tercapai

AZIANA Shaari ditemani ibunya, Fatimah Hashim menaiki Tren Khas KTM Komuter dari Sungai Petani ke Butterworth, Pulau Pinang menerusi program KTMB Realisasikan Impian Aziana Menaiki Tren di Sungai Petani, Kedah, hari ini. - FOTO/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Impian seorang remaja perempuan yang lumpuh selepas tulang belakangnya hancur dihempap dinding konkrit tujuh tahun lalu untuk menaiki kereta api tercapai apabila dia dibawa menaiki pengangkutan itu semalam.

Aziana Shaari, 17, bersama ibunya, Fatimah Hashim, 49, dibawa pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menaiki kereta api dari Sungai Petani ke Butterworth, Pulau Pinang menerusi program KTMB Realisasikan Impian Aziana Menaiki Tren.

Turut bersama dua beranak dari Kampung Bakar Bata, Pinang Tunggal dekat sini ialah Pengerusi KTMB, Datuk Musa Sheikh Fadzir dan Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd. Rani Hisham Shamsudin.

Akhbar sebelum ini melaporkan keinginan Aziana untuk menaiki kenderaan terpanjang di darat itu sejak kecil lagi, namun hasratnya itu tidak tercapai kerana terlibat dalam kemalangan ditimpa dinding konkrit ketika berusia 10 tahun.

Kejadian itu mengakibatkan tulang belakang Aziana hancur selain mengalami kecacatan kekal apabila buah pinggangnya rosak, usus tidak berfungsi selain tidak mempunyai deria rasa dari paras pinggang hingga kaki.

Aziana yang merupakan bekas murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pinang Tunggal menaiki tren khas di Stesen KTMB Sungai Petani pada pukul 9 pagi menuju ke Stesen KTMB Butterworth sebelum berhenti selama 10 minit di landasan hadapan rumahnya di Kampung Bakar Bata di sini pada pukul 9.10 pagi.

Tren Khas KTM Komuter yang membawa anak bongsu daripada enam beradik itu kemudiannya meneruskan perjalanan melalui Jambatan Putar Perai sebelum tiba di Stesen KTMB Butterworth kira-kira 20 minit kemudian.

Aziana berkata, dia berasa terharu dan terlalu gembira sehingga menitiskan air mata kegembiraan apabila impian yang disimpan sejak kecil itu akhirnya dipenuhi.

“Tiada perkataan sesuai untuk menggambarkan perasaan gembira kerana satu-satunya impian saya ini direalisasikan oleh KTMB hari ini.

“Puas rasanya dapat melihat pemandangan yang cantik di sepanjang laluan dan ini merupakan pengalaman terindah dalam hidup saya setelah sekian lama terlantar,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, Musa berkata, pihaknya berbesar hati kerana dapat memenuhi impian Aziana untuk merasai pengalaman menaiki kereta api.

“Kita turut mendapat kerjasama daripada Persatuan Bulan Sabit Merah yang memberikan khidmat bantuan khas melalui penyediaan katil bergerak dan dua anggota paramedik untuk mengawasi kesihatannya sepanjang perjalanan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya