KULIM: Seorang pelajar lelaki mengambil tugas ibunya yang menghidap kanser otak dengan melakukan kerja-kerja rumah termasuk memasak sebelum ke sekolah pada setiap hari.
Abdul Fatul Rahim Norisham, 14, dari Taman Lagenda, Padang Serai di sini, tidak berasa kekok melakukan kerja-kerja rumah untuk membantu ibunya, Haniza Omar, 40, sejak lima tahun lalu.
Pelajar tingkatan satu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Lela Pahlawan, Padang Serai di sini itu berkata, setiap hari sebelum ke sekolah dia ke sebuah pasar mini berhampiran rumahnya membeli barangan basah seperti sayur dan ikan.
“Pulang ke rumah saya menyiang ikan dan membasuh sayuran sebelum dimasak. Namun saya hanya masak resepi yang mudah seperti menggoreng ikan dan sayur lemak.
“Jika resepi yang ibu minta agak sukar, saya sediakan bahan terlebih dahulu sebelum kakak saya, Nurfarahain, 15, memasak selepas pulang dari sekolah,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.
Menurut Abdul Fatul, dia sudah biasa melakukan kerja rumah dan tidak berasa susah atau penat demi membantu ibunya yang turut menghidap pelbagai penyakit lain.
Tambahnya, bapanya, Norisham Ghazali, 53, pula seorang orang kurang upaya (OKU) dengan mengalami kecacatan pada bahagian kaki kanan selepas kemalangan jalan raya pada 2013 serta mempunyai masalah jantung.
Sementara itu, Haniza memberitahu, dia menghidap pelbagai penyakit antaranya kanser otak, masalah tulang belakang dan kelenjar air liur sejak lima tahun lalu.
Katanya, minggu lalu, dia terjatuh di rumahnya menyebabkan kaki kanan retak sehingga sukar berjalan manakala suaminya pula terkena serangan jantung baru-baru ini.
“Suami saya bekerja di sebuah kedai menjual kereta terpakai dengan gaji harian sebanyak RM30 sehari. Saya mendapat bantuan Lembaga Zakat Kedah sebanyak RM500 dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula RM600 manakala suami menerima bantuan OKU sebanyak RM450.
“Hasil wang bantuan itu dia membayar sewa rumah sebanyak RM450 serta perbelanjaan harian serta persekolahan anak-anaknya,” ujarnya.
Haniza berkata, dia mempunya enam anak iaitu dua lelaki dan empat perempuan berusia 21 tahun sehingga lapan tahun.
Katanya, seramai lima anaknya masih belajar iaitu Nurfarahiyah Masyitah, 18, yang menuntut di sebuah universiti awam, Nurfarahain, 15, Abdul Fatul Rahim, 14, Abdul Aisyh Rayan, 10, dan Nurkasih Aisyh Zahra, 8.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan kepada keluarga tersebut boleh menghubungi Haniza di taian 010-8068269. – UTUSAN ONLINE