Rayuan Anwar kembalikan saman pemula diputuskan 23 Februari depan - Utusan Malaysia

Rayuan Anwar kembalikan saman pemula diputuskan 23 Februari depan

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengetahui pada 23 Februari tahun depan keputusan Mahkamah Rayuan sama ada beliau dibenar mengembalikan saman pemula terhadap Kerajaan Malaysia berhubung sabitan kes liwat melibatkan bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Dalam saman pemula itu, Anwar mendakwa Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah menerima wang RM9.5 juta daripada Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengetuai pasukan pendakwaan di peringkat Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan pada 2013.

Peguam terkemuka itu sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap tuduhan pengubahan wang haram melibatkan lebih RM9.5 juta yang diterima daripada bekas Perdana Menteri.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Lee Swee Seng menetapkan tarikh itu selepas mendengar penghujahan Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mewakili Anwar, Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan yang mewakili pihak kerajaan dan Harvinderjit Singh mewakili Muhammad Shafee selaku pencelah dalam rayuan itu.

Hakim Swee Seng bersidang bersama Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Supang Lian.

Terdahulu, Sri Ram berhujah agar saman pemula itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi bagi membolehkan pihaknya menyoal balas Muhammmad Shafee berhubung wang RM9.5 juta yang diterimanya daripada Najib.

Hujah Sri Ram, Muhammad Shafee dilantik sebagai timbalan pendakwa raya ad-hoc melalui fiat pada 2 Julai 2013 dan cek bayaran pertama sebanyak RM4.3 dikeluarkan pada 11 September 2013 manakala cek kedua RM5.2 juta dikeluarkan oleh Najib pada 14 Februari 2014.

Sri Ram berhujah, Muhammad Shafee sepatutnya mendedahkan bayaran yang diterimanya kepada mahkamah, namun kegagalan berbuat demikian telah memprejudiskan Anwar untuk mendapat perbicaraan yang adil.

Hujah beliau, Muhammad Shafee tidak wajar mewakili pihak pendakwaan dalam rayuan kes liwat Anwar dalam keadaan beliau mempunyai kepentingan kewangan kerana menerima wang RM9.5 juta daripada Najib.

Menurut Sri Ram, Anwar berhak mendapat perbicaraan yang adil tanpa dorongan kewangan, walhal Najib dalam situasi ketika itu dihujahkan sebagai pihak berkepentingan terhadap keputusan rayuan anak guamnya.

Bagaimanapun, Harvinderjit sewaktu mencelah berhujah, anak guamnya hanya menerima bayaran RM1,000 daripada kerajaan ketika dilantik melalui Fiat mengendalikan rayuan kes liwat kedua.

Sementara itu, Suzana berhujah, isu yang dibangkitkan oleh perayu tidak timbul kerana Anwar telah diberikan perbicaraan yang adil di semua peringkat mahkamah dan tiada bukti menunjukkan penghakiman kes itu telah diganggu gugat.

Pada 8 November 2017, Mahkamah Tinggi membatalkan saman pemula Anwar untuk mengetepikan sabitan terhadap kes liwat kedua atas alasan beliau tidak mengemukakan bukti dalam afidavitnya bagi menyokong dakwaan Muhammad Shafee menerima wang RM9.5 juta daripada Najib.

Hakim Datuk Azizah Nawawi (kini Hakim Mahkamah Rayuan) ketika itu membenarkan permohonan kerajaan untuk membatalkan saman tersebut selepas berpuas hati ia tidak mempunyai kausa tindakan yang munasabah dan merupakan penyalahgunaan proses mahkamah. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN