MELAKA: Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berpuas hati dengan perjalanan pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di empat lokasi di Kem Terendak, di sini hari ini.
Menurutnya, empat lokasi yang dilawatinya ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kem Terendak, Sekolah Kebangsaan (SK) Terendak 1, SK Terendak 2 dan Dewan Borhan.
Beliau berkata, proses berjalan lancar dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dengan kawalan ketat oleh anggota tentera bertugas.
“Saya lihat semua calon yang bertanding di Sungai Udang tidak menghadapi masalah dan dibenarkan masuk ke pusat pengundian untuk meninjau perjalanan pengundian. Begitu juga wakil calon turut dibenarkan boleh berada di sekitar kawasan pengundian.
“Keseluruhannya saya puas hati melihat proses perjalanan pengundian awal ini. Setiap pengundi yang hendak masuk ke pusat tersebut tidak perlu beratur panjang kerana khemah besar disediakan untuk mereka duduk sebelum dipanggil untuk masuk mengundi,” katanya ketika ditemui.
Seramai 9,565 anggota tentera menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi awal PRN Melaka yang bermula pada pukul 8.00 pagi tadi.
Mereka yang menunaikan tanggungjawab membabitkan seramai 1,374 pengundi di SK Terendak 1, 3,359 pengundi pula di SK Terendak 2, 3,391 di SMK Kem Terendak dan 1,441 di Dewan Borhan. – UTUSAN