PARIS : Pengarah Sukan Paris Saint-Germain (PSG), Leonardo menyifatkan tindakan Argentina menyenaraikan Lionel Messi bagi menghadapi aksi kelayakan Piala Dunia Zon Amerika Selatan adalah tidak masuk akal.
Tegasnya, pasukan itu bukan sengaja tidak mahu melepaskan Messi tetapi tahap kecergasan serta masalah kecederaan yang membelenggu pemain itu sejak menyertai PSG dan menggesa campur tangan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
“Kami tidak bersetuju untuk melepaskan pemain, yang pada kami bukan di tahap kecergasan terbaik dan sedang berada dalam fasa pemulihan untuk menyertai pasukan kebangsaan mereka.
“Ia tidak masuk akal dan situasi ini memerlukan campur tangan FIFA,” katanya seperti yang dilaporkan La Parisien.
Pemain berusia 34 tahun itu tidak turun beraksi ketika pasukannya seri dengan RB Leipzig dan menang ke atas Bordeaux gara-gara kecederaan lutut dan paha minggu lalu.
Sepanjang tiga bulan bersama PSG, Messi hanya dapat melakukan lapan penampilan daripada keseluruhan 18 perlawanan yang diharungi kelab itu musim ini.
Walaupun sedang bergelut dengan masalah kecergasan, Messi tetap disenaraikan dalam skuad Argentina bagi perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia menentang Uruguay dan Brazil sepanjang dua minggu ini.
Bagaimanapun, pengendali PSG, Mauricio Pochettino, minggu lalu berkata dia gembira untuk membenarkan Messi mewakili La Albiceleste bagi mendapatkan kembali kecergasannya. – AGENSI