ISKANDAR PUTERI: Country Garden Pacificview Sdn. Bhd. menganggap berita berkaitan projek mega, Forest City di Iskandar Malaysia, di sini yang kononnnya sebagai ‘tidak berguna’ sebagai perspektif peribadi pihak yang menyiarkan video terbabit.
Syarikat itu memberitahu, hasil kandungan yang dicipta hanya untuk menarik perhatian ramai apatah lagi kenyataan tersebut tidak diiktiraf oleh mana-mana organisasi berwibawa antarabangsa.
Katanya, video tersebut menyenaraikan perkara yang keterlaluan dan berat sebelah sama ada dakwaan tersebut tidak relevan atau mengelirukan berkaitan Forest City.
Menurutnya, penyiar terbabit juga didapati mempunyai sikap yang berbeza terhadap projek yang sama dalam jurang tempoh yang singkat.
“Walaupun (Forest City) mendapat komen membina dari segi perspektif pelaburan asing, ekonomi, kemampanan perniagaan sebelum ini, penyiar telah memilih untuk menekankan dari sudut pandangan bersifat perkauman, berat sebelah dan peribadi.
“Bagaimanapun, syarikat memahami bahawa ia adalah perspektif dan hak individu untuk menyatakan satu pendapat secara bebas, oleh itu syarikat tidak akan mengeluarkan sebarang ulasan lanjut mengenainya,” katanya seperti kenyataan yang disiarkan dalam Facebook Forest City di sini.
Syarikat tersebut yang turut memuat naik kenyataan penjelasan sama di laman sesawang rasmi www.forestcitycgpv.com dipercayai merujuk kepada kandungan siaran YouTube Top Luxury yang menyenaraikan Forest City sebagai antara lima projek mega yang tidak memberi keuntungan dan paling tidak berguna di dunia.
Video berdurasi lebih 16 minit itu disiarkan saluran YouTube terbabit pada Ahad lalu yang kini mencatatkan kira-kira lapan juta tontonan serta merekodkan peningkatan pengikut kepada 323,000 berbanding lebih 200,000 pengikut sebelum ini.
Selain Forest City, Top Luxury turut menyenaraikan projek Interstate H-3 di Hawai, Amerika Syarikat (AS); projek Ciudad Real Central Airport di Sepanyol, projek Naypyidaw di Myanmar dan Yucca Mountain Nuclear Waste Repository juga di AS.
Sementara itu, syarikat tersebut menambah, Forest City adalah projek pembangunan tempoh jangka panjang yang akan memakan masa sekitar 25 hingga 30 tahun.
Katanya, sehingga kini, jumlah kawasan pembinaan yang telah siap adalah kira-kira 4 juta meter persegi dengan dua hotel lima bintang; dua padang golf 18 lubang mengikut standard antarabangsa; sebuah sekolah antarabangsa; kemudahan komersial yang lengkap berdekatan persisiran pantai bersama-sama dengan kemudahan awam.
“Dengan keadaan Covid-19 yang bertambah baik, syarikat kini meneruskan operasi seperti biasa,” katanya. -UTUSAN ONLINE