Program Laluan Khas pelajar Orang Asli ke UPNM  awal tahun depan - PM

Program Laluan Khas pelajar Orang Asli ke UPNM  awal tahun depan – PM

ISMAIL SABRI YAAKOB (kiri) menyantuni ketua masyarakat Orang Asli Kampung Bukit Rok dan Bukit Ibam di padang Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Rok di Bera, Pahang. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan melaksanakan Program Laluan Khas Kemasukan pelajar masyarakat Orang Asli ke Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang dijangka bermula awal tahun depan. 

Perdana Menteri berkata, pelaksanaan program kerjasama antara UPNM dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) itu sedang diperhalusi. 

Beliau berkata, kerajaan memberi perhatian serius dalam meningkatkan pendidikan masyarakat Orang Asli di seluruh negara menerusi pelbagai bantuan dan inisiatif berterusan termasuk memudahkan kemasukan mereka ke institusi pengajian tinggi (IPT).

Jelasnya, selain kerjasama UPNM dan Jakoa, kerajaan menyasarkan sekurang-kurangnya 10 anak Orang Asli melanjutkan pelajaran ke luar negara melalui Majlis Amanah Rakyat (Mara).

“Kita yakin satu hari nanti kita akan dapat menyaksikan lebih ramai anak-anak Orang Asli yang berpeluang  mengikuti pengajian  tinggi di universiti dan berjaya sebagai profesional yang lahir daripada UPNM. Setakat hari ini pun sudah ramai masyarakat Orang Asli ada sarjana dan doktor falsafah (PhD),” katanya pada Program Khidmat Komuniti Bersama UPNM dan Jakoa dengan kerjasama Parlimen Bera di padang Sekolah Kebangsaan Bukit Rok, di sini hari ini.

Yang hadir sama Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Datuk Seri Norol azali Sulaiman; Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah dan Ketua Pengarah Jakoa, Sapiah Mohd. Nor.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyaksikan pertukaran dokumen kolaborasi strategik UPNM dan Jakoa antara Hasagaya dan penyerahan replika check daripada Jakoa kepada UPNM.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, masyarakat Orang Asli sentiasa diberikan perhatian oleh kerajaan yang mana pembelaan terhadap masyarakat itu jelas dengan peruntukan dan inisiatif dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

Menurut Perdana Menteri, aspek pendidikan Orang Asli diberi perhatian daripada peringkat sekolah lagi yang menerima bantuan pendidikan serta elaun pendidikan serta kemudahan pembelajaran di asrama untuk anak masyarakat itu di pedalaman.

Dalam pada itu, beliau berkata, tindakan meletakkan kembali Jakoa yang sebelum ini di bawah Jabatan Perdana Menteri di Kementerian Pembangunan Luar Bandar sebagai begitu signifikan dalam memajukan masyarakat itu.

Katanya, ia membolehkan Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang memberi fokus kepada pembangunan luar bandar dapat memberikan tumpuan kepada pembangunan dan kemajuan masyarakat Orang Asli. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya