KUCHING: Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 akan diadakan pada 18 Disember ini.
Perkara itu diumumkan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh dengan hari penamaan calon pada 6 Disember.
Menurut beliau, hari mengundi awal pula ditetapkan pada 14 Disember.
“SPR telah mengadakan Mesyuarat Khas pada hari ini dan memutuskan satu Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak Ke-12 hendaklah diadakan bagi mengisi kekosongan 82 kerusi DUN tersebut berikutan berlakunya pembubaran DUN Sarawak Ke-11 pada 3 November lalu.
“Tempoh berkempen ditetapkan 12 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 6 Disember 2021 (Isnin) sehingga pukul 11.59 malam, 17 Disember 2021 (Jumaat),” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurut beliau, bagi urusan permohonan undi pos luar negara dan dalam negara, permohonan undi pos untuk pengundi kategori Borang 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara) dan kategori Borang 1C (9 Agensi dalam Sektor Keselamatan & Kesihatan), telah dibuka bermula 8 November 2021 sehingga 24 November 2021.
Jelasnya, untuk kategori Borang 1A (Petugas Pilihan Raya, Ahli/Pegawai SPR, Anggota Polis, Anggota Tentera, dan Petugas Media) pula dibuka bermula 24 November 2021 sehingga 3 Disember 2021.
“Permohonan undi pos untuk kategori 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara) dan Kategori 1C (9 Agensi dalam Sektor Keselamatan & Kesihatan) dilaksanakan secara dalam talian (online) berbanding secara manual sebelum ini.
“Permohonan untuk mengundi secara pos ini boleh dilakukan melalui MySPR Daftar di pautan https://mysprdaftar.spr.gov.my. Pemohon dinasihatkan agar memohon lebih awal apabila tarikh permohonan dibuka bagi mengelakkan berlakunya sebarang isu atau kesulitan,” katanya.