MELAKA: Proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berlangsung serentak di 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini pukul 9 pagi tadi.
Antara pusat penamaan calon (PPC) yang diberikan perhatian oleh para pengamal media ialah PPC DUN Lendu (Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali), PPC Tanjung Bidara (Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh), PPC Asahan (bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron) dan PPC Bukit Katil (Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari).
Penamaan calon hari ini sberbeza berbanding pilihan raya sebelumnya kerana diadakan dalam norma baharu, sunyi tanpa perarakan penyokong parti.
Mereka perlu akur dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang tidak membenarkan aktiviti berkumpul dan perarakan sepanjang tempoh berkempen.
Anggota keselamatan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengawal ketat 28 PPC bagi memastikan proses itu berjalan lancar dan selamat. – UTUSAN ONLINE