MELAKA: Sebanyak tiga laporan diterima polis berhubung perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) ketika hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, semalam.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, siasatan akan dijalankan bagi meneliti kesalahan-kesalahan terbabit.
“Saya kata buat masa ini kita kena berhati-hati sebelum mengambil apa-apa tindakan sebab kena ada budi bicara.
“Yang penting bagi kita calon-calon ini diberikan ruang, jangan sampai merosakkan atau melanggar Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988), itu lebih baik.
“Kalau tidak nanti dia boleh jadi masalah besar kerana wabak ini boleh merebak bukan hanya di Melaka tapi seluruh negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan di Bilik Gerakan Media di Ayer Keroh hari ini.

Menurut Hamzah, beliau telah meminta anggota polis yang bertugas sepanjang pilihan raya itu supaya tegas ketika menjalankan tugas.
“Saya minta polis agar tegas daripada segi Akta 342, tapi tengok juga budi bicara supaya calon-calon itu dapat melakukan pengenalan diri dan berkempen supaya rakyat dapat membandingkan parti bertanding,” jelasnya.
Sementara itu, beliau yang merangkap Setiausaha Agung PN berkata, pihaknya meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melonggarkan SOP kempen PRN Melaka.
Katanya, ia supaya parti itu lebih mudah memperkenal calon kepada pengundi dengan SPR perlu mencari kaedah tertentu kepada pihak bertanding.
Mengulas mengenai gerak kerja jentera PN, Hamzah berkata, perkara itu dilakukan secara sistematik dan efisien bagi memastikan pengundi dapat mengenali calon-calon.
“Calon-calon kita, calon baharu yang kita nak pastikan supaya pengundi dapat mengenali mereka, bagaimana cara nak perkenalkan mereka.
“Sebab itu saya turun dan berbincang di bilik gerakan PN untuk memastikan bahawa semua memahami cara kita bekerja supaya ia dapat diguna pakai oleh semua bilik gerakan yang kita sediakan,” katanya. – UTUSAN ONLINE