KLANG: Polis mengesahkan kes sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) milik seorang pegawai kastam yang musnah terbakar di sebuah kedai cuci kereta di Taman Pandamaran Permai di sini, hari ini, dipercayai mempunyai unsur khianat.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima maklumat awal mengenai kejadian itu daripada orang awam, kira-kira pukul 11 pagi.
Katanya, siasatan awal mendapati Proton X70 milik mangsa berusia lingkungan 40-an itu dihantar ke premis berkenaan selepas dipercayai dilempar cat beberapa hari lalu.
“SUV berkenaan bagaimanapun terbakar dalam kejadian di kedai cuci kereta berkenaan pagi tadi.
“Kita bagaimanapun masih menyiasat punca sebenar kebakaran sama ada dibaling objek tertentu atau sebaliknya,” katanya ketika dihubungi petang tadi.
Terdahulu, beliau meninjau lokasi kebakaran bersama sepasukan bomba yang menjalankan siasatan menyeluruh di kawasan berkenaan.
Jelas Hoong Fong, pihaknya masih menjalankan siasatan terperinci mengenai kejadian itu.
“Siasatan itu turut merangkumi kemungkinan mempunyai unsur perbuatan khianat dan disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api,” ujarnya.
Justeru, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33719999 atau balai polis berdekatan untuk tindakan lanjut.
Terdahulu, mangsa dipercayai meninggalkan kenderaan tersebut untuk tujuan mengilatkan SUV berkenaan.
Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi Bomba Selangor, Zulfikar Jaffar berkata, seramai tujuh anggota termasuk pegawai bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 11.03 pagi.
Bomba yang tiba 11 minit kemudian segera melakukan pemadaman dengan SUV itu musnah 90 peratus selain kebakaran turut melibatkan sedikit bahagian bumbung kedai.
Bagaimanapun, tiada mangsa terlibat dengan kebakaran dipercayai perbuatan khianat.- UTUSAN ONLINE