IPOH: Polis Perak mengeluarkan 875 kompaun bagi kesalahan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 sejak rentas negeri dibenarkan bermula 11 Oktober lalu hingga semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, daripada jumlah itu, kesalahan gagal mendaftar masuk premis merekodkan kompaun tertinggi sebanyak 478 kes diikuti 211 kompaun kerana gagal memakai pelitup muka dan 68 kompaun atas kesalahan tiada penjarakan fizikal.
Katanya, sebanyak 54 kompaun turut dicatatkan membabitkan kesalahan keluar bukan wakil isi rumah dan tidak lengkap divaksin, pemilik gagal menyediakan QR Kod MySejahtera di premis dengan 22 kompaun serta makan dalam premis dan merentas sempadan tanpa lengkap divaksinasi masing-masing 12 dan tujuh kompaun.
“Bagi kesalahan melakukan aktiviti sukan tanpa lengkap divaksin dengan tujuh kompaun, tidak patuh waktu operasi (6), perjumpaan sosial dan mabuk (6) dan enggan menjalani kuarantin (4),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Perak dan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) di Mes Pegawai Kanan PDRM Perak di sini hari ini.
Mengulas lanjut Mior Faridalathrash berkata, polis turut mengeluarkan 65 kompaun melalui Op Patuh hasil pemeriksaan terhadap 3,924 buah kilang di seluruh negeri sejak 2 Julai lalu hingga semalam.
Katanya, daerah Ipoh merekodkan jumlah kompaun tertinggi iaitu 23 kes diikuti Taiping (13), Manjung (8), Batu Gajah (6), Hilir Perak (6), Kerian (6) dan Sungai Siput (3).
“Masyarakat dinasihatkan untuk terus mematuhi SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 bagi memastikan tiada lagi jangkitan baharu Covid-19.
“Pihak polis akan terus memantau terhadap pematuhan SOP dan mengenakan kompaun kepada sesiapa yang sengaja ingkar,” katanya.