MANCHESTER: Mauricio Pochettino menegaskan dia gembira untuk menamatkan kontraknya hingga 2023 di Paris Saint-Germain (PSG) walaupun timbul spekulasi namanya antara calon pengurus baharu yang disenarai pendek oleh Manchester United.
Mengetuai senarai tersebut adalah Zinedine Zidane, Brendan Rodgers, Luis Enrique, Erik Ten Hag, Ernesto Valverde dan Pochettino.
United memecat Solskjaer Ahad lalu selepas kemerosotan prestasi Red Devils yang hanya menang sekali dalam tujuh aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) namun menegaskan kelab mahu menanti hingga penamat musim sebelum menamakan pengganti, dengan tugas itu kini digalas Michael Carrick.
Jurulatih dari Argentina itu, setakat ini berada di landasan tepat untuk memenangi gelaran liga pertamanya sepanjang karier bergelar pengurus apabila mencipta jurang 11 mata di Ligue 1.
Pochettino,49 turut mensasarkan kejuaraan Liga Juara-Juara buat PSG yang diperkuatkan dengan barisan pemain bintang diketuai Lionel Messi, Kylian Mbappe dan Neymar.
“Kontrak saya hingga 2023, musim ini dan satu musim lagi. Saya tidak berkata sesuatu yang berbeza, saya gembira di PSG, itulah sebenarnya, ia bukan perkara untuk difikirkan. Saya gembira di Paris.
“Saya sangat gembira di PSG dan fokus melakukan apa yang kami perlu lakukan. Saya sayangkan kelab, saya sayangkan penyokong, kami bertarung dengan jurang 11 mata dalam Ligue 1 dan kami bersaing untuk layak dalam Liga Juara-Juara. Itu keutamaan saya dan tanggungjawab saya,” jelasnya.
Pengurus Ajax, Erik ten Hag, turut enggan melayan spekulasi itu dan mahu terus memberi tumpuan untuk memenangi gelaran Eredivisie, dengan menegaskan dia tidak mendengar sebarang berita mengenai jawatan di United.
Dalam pada itu, United turut dilaporkan mengadakan rundingan bersama bekas pengendali Barcelona Ernesto Valverde mengenai kemungkinan menjadi pengendali sementara kelab itu sehingga penghujung kempen liga. – AGENSI