PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di Jakarta hari ini bagi memulakan lawatan rasmi tiga hari ke Indonesia atas undangan Presiden, Joko Widodo.
Ismail Sabri tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Halim Perdanakusuma kira-kira pukul 10.10 pagi, diiringi Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Memetik laporan Bernama, ketibaan beliau disambut Menteri Pendidikan, Kebudayaan, Penyelidikan dan Teknologi Indonesia, Nadiem Anwar Makarim dan Menteri Luar Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah yang tiba lebih awal.
Yang Turut hadir, Kuasa Usaha Kedutaan Malaysia di Indonesia, Adlan Mohd Shaffieq dan Pengarah Kementerian Luar Indonesia untuk Protokol, Irvan Bukhari.
Perdana Menteri dan delegasi Malaysia akan menginap di sebuah hotel di Jakarta.
Ini adalah lawatan sulung Ismail Sabri ke negara jiran itu sejak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kesembilan pada 21 Ogos lalu.
Apa yang menarik pada lawatan iini ialag delegasi yang diketuai Perdana Menteri mengenakan baju batik Malaysia sebagai pakaian rasmi lawatan berkenaan.
Antara atur cara lawatan Perdana Menteri termasuk mengadakan pertemuan dengan Joko Widodo (Jokowi) dan komuniti perniagaan Indonesia, Ketua-ketua Pengarang (Editor) media Indonesia dan diaspora Malaysia.
Perdana menteri juga dijangka menyaksikan pemeteraian beberapa memorandum persefahaman dan perjanjian di antara kedua-dua negara dan melawat kemudahan industri pertahanan di Bandung.
Lawatan itu dilaksanakan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang ditetapkan kedua-dua negara.