PM ketuai Malaysia ke Sidang Kemuncak Khas ASEAN-China

PM ketuai Malaysia ke Sidang Kemuncak Khas ASEAN-China

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Khas ASEAN-China esok melalui persidangan secara video.

Menurut kenyataan Kementerian Luar di sini hari ini, persidangan tersebut juga bagi meraikan ulang tahun ke-30 hubungan dialog ASEAN-China yang bermula di Kuala Lumpur pada 1991.

Ketika itu, Menteri Luar China, Qian Qichen dijemput menghadiri sesi pembukaan Mesyuarat Peringkat Menteri ASEAN (AMM) Ke-24 sebagai tetamu kerajaan Malaysia buat julung kalinya.

China yang menzahirkan kerjasama penuh dengan blok serantau ini kemudian menerima status rasmi Rakan Dialog ASEAN dalam sidang AMM Ke-29 di Jakarta, Indonesia pada 1996 lalu.

“Perdana Menteri akan diiringi Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali,” kata kenyataan Wisma Putra.

Turut serta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri selain para pegawai kanan kerajaan dari Pejabat Perdana Menteri dan tiga kementerian yang berkenaan.

Persidangan khas ini ujar Wisma Putra, bakal memberi tumpuan kepada penilaian dan hala tuju kerjasama ASEAN-China termasuk peningkatan hubungan strategik yang lebih menyeluruh.

China merupakan antara rakan kongsi ASEAN paling dinamik dengan kerjasama merangkumi pelbagai sektor di bawah kesemua tiga tonggak utama blok rantau Asia Tenggara tersebut.

Penyertaan Malaysia pula mencerminkan komitmen negara ini untuk terus mempertingkatkan hubungan dialog ASEAN-China dan berharap akan membuka jalan mencapai kesepakatan.

“Malaysia berharap sidang ini dapat memenuhi matlamat saling memanfaatkan dalam usaha menggalakkan keamanan, kestabilan, keselamatan dan kemakmuran bersama,” tambahnya.

Dalam pada itu, Kementerian Luar China menerusi kenyataan akhbar di Beijing semalam turut mengesahkan Presidennya, Xi Jinping akan menyertai persidangan khas peringatan tersebut.

Menteri Luarnya, Wang Yi menerusi taklimat video mengenai perkara tersebut berkata, sidang kali ini akan menilai semula segala pencapaian lepas untuk membina masa depan lebih baik.

Beliau malah optimis, hubungan ASEAN-China bakal diperkukuhkan lagi menjadi lebih akrab dalam pelbagai bidang kerjasama yang memberi manfaat besar kepada kedua-dua pihak.

Persidangan itu diadakan susulan kejayaan Mesyuarat Khas Menteri Luar ASEAN-China di Chongqing, China pada 7 Jun lalu yang bersempena 30 tahun hubungan dialog tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya