PKPD di Pos Kampung Satak, Pahang dilanjutkan - Utusan Malaysia

PKPD di Pos Kampung Satak, Pahang dilanjutkan

PENDUDUK perkampungan Pos Satak di Raub, Pahang membina sekatan bagi menyekat orang luar masuk yang dibimbangi membawa Covid-19.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Hampir 700 orang penduduk Orang Asli dalam Pos Satak di Pahang sekali lagi menyaksikan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kampung itu dilanjutkan.

Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md. Saad berkata, lokaliti itu terletak dalam Mukim Batu Talam, Daerah Raub, iaitu kira-kira 35 kilometer dari Bandar Raub.

Kawasan perkampungan itu dikenakan PKPD sejak 3 November lalu dan sepatutnya berakhir esok namun disambung lagi susulan ada tiga kes baharu dilaporkan pada 12 November lepas.

Sebelum PKPD dilaksanakan, Jabatan Kesihatan Pahang merekodkan sejumlah 24 kes positif Covid-19 sejak kes pertama dikesan membabitkan seorang penduduk pada 17 Oktober lalu.

Dalam pada itu, PKPD yang melibatkan satu lagi perkampungan masyarakat Orang Asli di negeri tersebut iaitu Pos Betau akan ditamatkan esok seperti dijadualkan MKN.

Lokaliti meliputi 18 perkampungan etnik Semai yang didiami hampir 3,000 orang dalam Mukim Ulu Jelai, Daerah Lipis itu dikenakan PKPD sejak 20 Oktober lalu ekoran kluster komuniti.

Penempatan berkenaan yang terletak kira-kira 70 kilometer dari Bandar Kuala Lipis itu pernah merekodkan lebih 20 kes wabak tersebut sebelum dilanjutkan PKPD pada 3 November lepas.

Ia meliputi Kampung Meter, Kampung Sentoi, Kampung Sarang, Kampung Cekai, Kampung Limau, Kampung Lanchang, Kampung Samak, Kampung Sat, Kampung Kabang, Kampung Kuala Kenik, Kampung Miluk, Kampung Ulu Miluk, Kampung Celang, Kampung Bertam, Kampung Jelengok, Kampung Tual, Kampung Belida Baru dan Kampung Simoi Baru.

Sementara itu, Rodzi turut memaklumkan bahawa satu lagi lokaliti di Pahang akan berakhir PKPD esok seperti ditetapkan MKN iaitu Taman Amalina Lestari, dalam Mukim Gali, Daerah Raub.

Zon perumahan ini pernah dikenakan PKPD dari 30 Julai hingga 12 Ogos lalu malah dua kes kematian warga emas akibat Covid-19 direkodkan masing-masing pada 9 Ogos dan 11 Ogos lalu.

Beliau juga memberitahu, tiada kawasan baharu bakal dikenakan PKPD di seluruh negara selepas kali terakhir diumumkan pada 10 November lalu melibatkan dua lokaliti di Pahang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya