Pinda Perlembagaan, utamakan undi tidak percaya PM - Ku Li - Utusan Malaysia

Pinda Perlembagaan, utamakan undi tidak percaya PM – Ku Li

TENGKU RAZALEIGH HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadang meminda Perlembagaan Persekutuan dengan memperuntukkan Dewan Rakyat mengutamakan undi percaya terhadap perdana menteri yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong. 

Ahli Parlimen Gua Musang , Tengku Razaleigh Hamzah berkata, pindaan itu membenarkan Yang di-Pertuan Agong memanggil Dewan Rakyat menentukan sama ada seseorang ahli Parlimen yang dipilih sebagai perdana menteri mendapat sokongan dan kepercayaan majoriti wakil rakyat mengikut Perlembagaan. 

Kata veteran UMNO itu, ia sebagai salah satu daripada reformasi dicadangkan yang dipercayai dapat mengelakkan krisis ketika negara sudah mempunyai sistem perundangan yang mampu menyelesaikannya. 

“Jika politik gagal, maka kerajaan juga gagal dan jika kerajaan gagal, kita akan menjadi negeri yang gagal. Negeri yang gagal bermakna kita telah menggagalkan rakyat negara ini, kita mesti dalam apa jua keadaan mengelakkannya daripada ia menjadi kenyataan,” katanya dalam ucapan semasa sesi dialog makan tengah hari.

Program itu dianjurkan oleh Persatuan Graduan-Graduan British Malaysia di kediamannya di No. 31, Jalan Langgak Golf, di sini hari ini. 

Selain itu, beliau berkata,  Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat mengenai susunan Aturan Urusan Mesyuarat dan peruntukan juga perlu dipinda dengan menyorot pengalaman lalu menunjukkan, budi bicara sahaja tidak mencukupi untuk memenuhi  dan perkara-perkara yang mendesak serta membimbangkan negara. 

“Saya juga mencadangkan supaya perlembagaan atau perintah tetap dipinda untuk mewujudkan kewajipan supaya Speaker membentangkan di hadapan Dewan Rakyat mengenai apa-apa perkara yang mendesak dan berkait kepentingan negara yang diminta oleh sekurang-kurangnya 50 wakil rakyat termasuk melibatkan undi percaya perdana menteri,” katanya. 

Peraturan Mesyuarat 15(1) Peraturan peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat menyatakan, pada tiap-tiap hari persidangan mesyuarat, urusan kerajaan hendaklah didahulukan daripada urusan-urusan lain manakala usul persendirian yang turut terdiri daripada usul tidak percaya dan usul percaya hanya akan dibahaskan selepas semua urusan kerajaan selesai. 

Tengku Razaleigh mencadangkan supaya Perlembagaan secara jelas digubal yang menyaksikan Dewan Rakyat dan status Speaker Dewan berautonomi dan bebas dari kawalan kerajaan selain tanggungjawab Speaker Dewan untuk melindungi dan menegakkan demokrasi berperlembagaan dan kedaulatan undang-undang. 

Beliau antara lain mencadangkan supaya tiada mana-mana ahli Dewan Rakyat menerima jawatan dan kedudukan di dalam syarikat milik kerajaan (GLC) manakala jawatan pengarah dalam GLC akan menyebabkan seseorang hilang kelayakan sebagai ahli Dewan atau calon dalam pilihan raya. 

“Mana-mana ahli Dewan Rakyat yang dipilih sebagai wakil parti politik wajib meletak jawatan sebagai ahli Parlimen mengikut Perlembagaan jika seseorang memutuskan tidak meneruskan untuk menjadi ahli parti tetapi dia berhak untuk mendapatkan mandat baharu dalam pilihan raya,” katanya. 

Sementara itu, menurutnya, sebarang sumbangan politik daripada mana-mana sumber mesti diisytihar kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menyatakan nama penderma, jumlah, tujuan, nama dan kenyataan akaun manakala GLC pula dilarang membuat sebarang sumbangan politik. 

“Mahkamah Persekutuan juga perlu ditubuhkan yang membenarkan akses terus kepada penyelesaian masalah dalam politik, Perlembagaan, isu-isu hak demokrasi, pencabulan hak asasi manusia dan sivil serta penubuhan suruhanjaya bebas bagi mewakili masyarakat mengenai politik dan hak asasi,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya