Pewartaan Taman Laut jejaskan 400 nelayan Melaka

Pewartaan Taman Laut jejaskan 400 nelayan Melaka

PULAU Undan, Melaka bakal diwartakan Taman Laut Negara adalah kawasan sumber rezeki nelayan menangkap ikan. – FOTO/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kira-kira 400 nelayan Melaka Selatan merayu kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) yang baharu dibentuk agar mempertimbangkan cadangan untuk tidak mewartakan Pulau Undan, Pulau Dodol dan Pulau Nangka sebagai Taman Laut Negara.

Ketika ditemui Utusan Malaysia, Ketua Komuniti Nelayan Tanjung Kling, Aziz Japar berkata, jika pulau berkenaan diwartakan, ia secara tidak langsung bakal menjejaskan sumber rezeki nelayan sepanjang Melaka Selatan untuk menangkap ikan.

AZIZ JAPAR

Menurutnya, lapan pangkalan nelayan yang dijangka terjejas adalah Tanjung Kling, Pantai Kundor, Pantai Puteri, Balik Bukit, Sungai Lereh, Kelebang, Kampung Portugis dan Kota Laksamana.

“Saya mewakili seluruh pangkalan nelayan dari Melaka Selatan memohon Ketua Menteri yang baharu dilantik, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali untuk mempertimbangkan suara kami meminta jasa baik agar tiga pulau tersebut tidak diwartakan sebagai Taman Laut Negara.

“Sejak penambakan laut dari Kampung Portugis hingga Kelebang, tangkapan nelayan semakin berkurangan. Keadaan menjadi lebih teruk apabila kapal-kapal berlabuh pula di laluan nelayan pukat hanyut menangkap ikan masih belum diselesaikan,” ujarnya.

“Ekoran itu Pulau Undan, Pulau Nangka dan Pulau Dodol menjadi sumber rezeki nelayan dan jika cadangan untuk mewartakannya dibenarkan, habislah rezeki kami nak menangkap ikan. Kami dah tak ada kawasan lagi,” katanya.

Sebelum ini, Pulau Undan telah dicadang untuk diwartakan menjadi Taman Laut Negara bagi melindungi serta memulihara pelbagai habitat dan kehidupan marin akuatik di kawasan tersebut.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, hasil tinjauan awal pihaknya di kawasan berkenaan mendapati, pulau itu sesuai diwartakan memandangkannya memiliki pelbagai khazanah laut yang masih belum tercemar.

Mengulas lanjut, Aziz berkata, sebelum ini Pulau Besar sudahpun diwartakan sebagai Taman Laut Negara dan kawasan tersebut juga menjadi lubuk rezeki sejak zaman-berzaman.

Jelasnya, nelayan akur dengan keputusan tersebut, namun apabila ada cadangan untuk mewartakan tiga pulau lain, kesemua 400 nelayan mula resah berikutan kawasan menangkap ikan akan menjadi terhad.

“Saya akan menemui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor yang baru dipilih, Tuminah Kadi untuk membincangkan mengenai perkara tersebut dan dibawa ke pengetahuan Ketua Menteri,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya