BUTTERWORTH: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan menjalankan siasatan teknikal susulan nahas pesawat Hawk 108 yang terhempas ketika sedang melakukan latihan penerbangan di Pangkalan Udara, di sini malam tadi.
Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Mohd. Asghar Khan Goriman Khan berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan terperinci berhubung insiden terbabit.
“Kita akan buat siasatan terperinci,” jawabnya ringkas ketika ditemui di pekarangan Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini awal pagi ini.
Beliau tiba di HSJ kira-kira pukul 1.52 pagi dan meluangkan masa hampir 20 minit melawat mangsa yang terlibat dalam nahas itu.
Sementara itu ketika ditanya mengenai keadaan mangsa, beliau enggan mengulas dan hanya menjawab ‘no komen’.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.07 malam tadi, Kapten Mohamad Affendi Bustamy disahkan meninggal dunia manakala Mejar Mohd. Fareez Omar yang mengalami kecederaan dilaporkan stabil.
Sementara itu, saksi kejadian terbabit mendakwa mendengar dua letupan kuat sebelum melihat api marak di atas landasan di Pangkalan Udara berkenaan.
Seorang peniaga kedai makan di Kampung Benggali, Sungai Puyu, dekat sini, Mastura Mohammad Nordin, 44, berkata, dia mendengar deruan pesawat yang agak kuat berbanding kebiasaan kerana kedainya terletak berdekatan pangkalan udara itu.
“Saya dengar bunyi agak lain berbanding kebiasaan ketika pesawat masih di udara kerana sudah biasa dengan bunyi pesawat.
“Ketika pesawat itu hampir mendarat, saya dengar dua dentuman yang sangat kuat sebelum melihat api marak ketika pesawat terhempas di landasan,” katanya.
Menurut Mastura, ketika kejadian dia sedang membersihkan gerai makanan yang diusahakannya untuk pulang ke rumah yang terletak berdekatan. – UTUSAN ONLINE