KUANTAN: Seorang pesara swasta didenda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuantan, di sini atas pertuduhan menggunakan peralatan komunikasi radio marin jenama Superstar model SS-39 yang tidak diperakui, tujuh tahun lalu.
Tertuduh, Yap Aik Seng, 58, mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibaca di hadapan hakim Mohd. Kafli Che Ali di mahkamah terbabit hari ini.
Tertuduh melakukan kesalahan itu pada jarak 14 batu nautika dari Kuala Rompin, pukul 10.45 pagi, pada 3 Julai 2015.
Dia didapati melakukan satu kesalahan di bawah Peraturan 16(1)(b) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 dibaca bersama Peraturan 16(3) yang boleh dihukum di bawah Peraturan 37 Peraturan-Peraturan sama.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, ketika prosiding, Aik Seng yang diwakili peguam Norazmi Kasani merayu agar mahkamah mengenakan hukuman denda paling minimum bagi kesalahan tersebut.
“Anak guam saya sudah insaf dan berjanji tidak mengulangi kesalahan berkenaan pada masa akan datang.
“Pengakuan salah tertuduh juga telah menjimatkan masa semua pihak dan perkara itu perlu diambil kira oleh mahkamah dalam menentukan hukuman,” kata Norazmi.
Bagaimanapun, pegawai pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Nazrul Nizam Mohd. Zameri memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda setimpal terhadap tertuduh.
Mohd. Kafli memutuskan denda RM6,000 atau penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda diarahkan.- UTUSAN ONLINE