Pertimbang adakan PRU-15 dalam masa terdekat - Tok Mat - Utusan Malaysia

Pertimbang adakan PRU-15 dalam masa terdekat – Tok Mat

MOHAMAD Hasan beramah mesra bersama para ahli Persatuan Solidariti Nasional (Persona) selepas beliau merasmikan Persidangan Agung Kebangsaan Kali Ke-6 Sesi 2020 persatuan berkenaan di Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) perlu dipertimbang untuk diadakan dalam masa terdekat mengambil kira sentimen rakyat ketika ini yang dilihat memihak kepada Barisan Nasional (BN).

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perkara itu juga telah disuarakan beliau kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam sebaik sahaja BN memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Saya cakap dengan Perdana Menteri semalam, kita perlu pertimbangkan untuk segerakan pilihan raya umum. Suka atau tidak kita tunggu sampai bulan Julai nanti sebab perjanjian (persefahaman kerajaan dan pembangkang) sampai bulan Julai.

“Ini pun tidak tahulah kerana banyak yang kalah teruk di Melaka, tidak tahulah kalau mereka akan pull the plug (tarik diri), kita tidak tahu. Dalam politik apa juga boleh jadi, dinamiknya berubah setiap hari dan tidak statik, terpulang kepada BN dan UMNO untuk buat ulang kaji,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Agung Kebangsaan Persatuan Solidariti Nasional (Persona) Kali Ke-6 Sesi 2020 di sini hari ini.

Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi BN bagaimanapun berkata, sama ada perlu untuk PRU-15 diadakan dalam waktu terdekat mahupun perlu menunggu sehingga habis penggal ia perlu difikirkan secara mendalam.

“Jika ditanya kepada saya, saya mahu ia (PRU-15) diadakan esok. Kalau kita mahu ikutkan the feel good factor ada di situ ini, masih lagi segar dengan kemenangan dan mandat yang diberi oleh rakyat Melaka.

“Jika kita tunggu (sehingga habis penggal) apa pula, masa kadangkala sangat penting, kadangkala kalau waktu tidak tepat susah juga. Semasa PRU-14, kita tunggu sampai habis penggal dan kalah, kita kita buat sebaik sahaja Sukan SEA, waktu itu sentimen sangat baik, orang sokong kerajaan,” katanya lagi.

Mohamad menambah, PRU-15 dalam waktu terdekat penting supaya mandat baharu dapat diberikan semula kepada rakyat.

“Bukan saya mahu beri tekanan untuk PRU-15 diadakan sebelum akhir tahun ini, tapi kalau okey apa salahnya, jika dibandingkan kita perlu tunggu sehingga 2023.

“Dapatan mandat baharu, orang faham selepas pandemik ini memang susah untuk mentabir negara, dapatkan mandat baharu semula, dapat majoriti yang baik, kemudian semua kena bersatu padu,” katanya lagi. – UTUSAN ONLINE 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya