Permohonan Rosmah singkir hakim didengar 14 Disember - Utusan Malaysia

Permohonan Rosmah singkir hakim didengar 14 Disember

ROSMAH MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Permohonan Datin Seri Rosmah untuk menghalang salah seorang Hakim Mahkamah Tinggi di sini, daripada mendengar perbicaraan kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai yang dihadapinya didengar pada 14 Disember ini.

Menurut peguam, Datuk Geethan Ram Vincent ketika dihubungi media, tarikh tersebut ditetapkan oleh Catherine Nicholas sewaktu pengurusan kes berkenaan secara dalam talian. Turut hadir pada prosiding itu ialah Timbalan Pendakwa Raya, Poh Yih Thinn.

“Mahkamah turut memerintahkan pihak-pihak memfailkan afidavit jawapan dan balas pada 19 dan 26 November. Selain itu, hujahan kedua-dua pihak perlu difailkan pada 3 dan 10 Disember ini,”kata peguam itu.

Pada 2 November lalu, Rosmah memfailkan permohonan tersebut bagi menghalang Hakim Mohamed Zaini Mazlan yang sedang mendengar kes rasuah wanita itu berkaitan projek solar hibrid di Sarawak untuk terlibat dalam perbicaraan kes membabitkan tuduhan pengubahan wang haram dan pengelakan cukai yang akan mula dibicarakan Januari 2022.

Permohonan tersebut dibuat selepas Hakim Mohamed Zaini membenarkan permohonan pendakwaan untuk mencabar kredibiliti isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam perbicaraan kes rasuah berkaitan projek solar hibrid dengan mengguna pakai keterangan yang dirakam sewaktu siasatan kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai.

Menurut notis tersebut, keterangan dan eksibit-eksibit yang telah dikemukakan di dalam perbicaraan kes solar yang mana ia secara langsung dan tidak langsung boleh mempengaruhi Hakim Mohamed Zaini sekiranya beliau mendengar kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai Rosmah.

“Pemohon mempunyai hak untuk mendapatkan suatu perbicaraan yang adil dan adalah dilindungi sebagai hak asasi di bawah Perlembagaan Persekutuan. Hak ini akan diprejudiskan secara teruk dan menjadi sia-sia sekiranya Hakim Mohamed Zaini mendengar perbicaraan kes (pengubahan wang haram) ini,” kata Rosmah dalam notis itu.

Pada 18 Februari lalu, Hakim Mohamed Zaini memerintahkan Rosmah untuk membela diri atas tuduhan meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta berhubung tender membekal dan memasang tenaga solar hibrid di 369 sekolah di pedalaman Sarawak.

Rosmah kini sedang disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya adhoc, Datuk Seri Gopal Sri Ram pada perbicaraan kes rasuah solar. Perbicaraan itu akan bersambung pada 8 Disember ini.

Pada 4 Oktober 2018, Rosmah didakwa atas 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750, serta lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang lima kali ganda nilai aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan mengelakkan cukai pula dibuat mengikut Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang menuntut Rosmah mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018 dengan tiada sebab yang munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN