KOTA BHARU: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kelantan membayar RM4 juta faedah Skim Insurans Pekerja (SIP) kepada 594 pencarum yang kehilangan kerja ketika pandemik Covid-19 bagi tempoh Januari hingga September lalu.
Sepanjang tahun lalu pula, seramai 2,848 pencarum menerima faedah tersebut dengan nilai keseluruhan mencecah RM7 juta.
Pengarah Perkeso Kelantan, Nora Yaacob berkata, biarpun SIP diperkenalkan sejak 2017, ramai masih tidak cakna terhadap kepentingan mencarum skim tersebut yang mampu membela nasib mereka jika hilang pekerjaan atau punca pendapatan.
“Tidak dinafikan, ada yang mengambil mudah dan tidak membayar caruman SIP sedangkan ia boleh membantu pekerja yang kehilangan punca pendapatan, sementara mendapat kerja baharu.
“Antara sebabnya, mereka beranggapan caruman dengan Perkeso tidak penting sedangkan ini boleh membantu jika kehilangan pekerjaan, atau berdepan pelbagai musibah lain pada masa depan,” katanya kepada pemberita semalam.
Terdahulu Nora menyerahkan replika cek bayaran Elaun Mencari Pekerjaan EMP dan pencen ilat kepada Nor ‘Aini Zurahim di Kampung Paya Bemban di sini, yang kehilangan pekerjaan Januari lalu akibat kanser payudara tahap empat.
Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Mas, Rohani Ibrahim.
Dalam perkembangan sama, Nora memberitahu, berkata, caruman Perkeso di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Caruman di bawah Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) adalah penting bagi melindungi pekerja.
“Sepanjang pandemik Covid-19, kami juga sudah membayar sebanyak RM329 juta untuk program subsidi upah kepada majikan yang terkesan untuk meneruskan operasi perniagaan yang dijalankan,” katanya.
Sementara itu, Nor ‘Aini berterima kasih kepada Perkeso dan berkata, sumbangan itu sekurang-kurangnya dapat meringankan beban untuk menampung kos perubatan yang tinggi.
“Saya yang sudah hampir setahun tidak bekerja kini menumpang di rumah, Nor Syazwani, 37 bersama anak perempuannya berumur 15 tahun,” katanya. – UTUSAN