JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri komited memperkasa sektor pendidikan dan modal insan dengan menjadikannya sebagai antara bidang tumpuan dalam Belanjawan Johor 2022 yang dibentangkan tidak lama lagi.
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, pihaknya akan memberi fokus kepada usaha melestarikan pendidikan dan latihan kemahiran untuk melahirkan modal insan berketerampilan serta berkemahiran tinggi.
Katanya, modal insan berkemahiran tinggi diperlukan dalam memastikan hasrat negeri ini menjadi pemain utama dalam negara.
“Kerajaan negeri berhasrat menjadikan Johor sebagai sebuah negeri yang penting dalam negara kita.
“Untuk itu kita perlu sentiasa mencungkil, menggilap dan memperluas lagi potensi yang ada dalam kalangan rakyat di negeri ini,” katanya semasa berucap pada Majlis Anugerah Hari Guru Peringkat Negeri Johor 2021 di Hotel Holiday Villa, di sini. – UTUSAN ONLINE