BERA: Permainan sukan rakyat dan kebudayaan yang semakin dilupakan perlu diperkasa bagi memartabatkan seni budaya dan warisan negara, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Perdana Menteri berkata, program kebudayaan dan sukan rakyat perlu diadakan di setiap daerah dengan lebih kerap dan berterusan sekali gus boleh menarik pengunjung bukan sahaja dari dalam negara malah membabitkan pelancong asing.
“Di Bera sebagai contoh terdapat Dataran Kerayong yang mana kalau boleh diadakan setiap minggu (sukan rakyat dan persembahan kebudayaan), saya yakin ramai orang akan tengok dan pelancong yang datang ke Bera boleh terlibat sama, boleh melihat permainan rakyat.
“Dalam masa yang sama perlu ada pertunjukan tetap kebudayaan setiap minggu, jadi orang tahu ada program itu,” katanya pada program komuniti Keluarga Malaysia Hogoh Bera 2021 di Dewan Utama Felda Kumai, di sini hari ini.
Yang hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail: Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin.
Ismail Sabri berkata, langkah itu signifikan dalam usaha berterusan mempromosikan produk budaya seni tempatan kepada masyarakat luar.
Beliau berkata, usaha mempromosikan seni dan kebudayaan perlu dilaksanakan berterusan oleh pelbagai pihak dan tidak terhad dalam majlis-majlis rasmi sahaja.
“Saya harap Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bekerjasama dengan kerajaan negeri dan majlis daerah agar seni dan budaya dapat dipertontonkan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE