KOTA TINGGI: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) telah memperuntukkan dana sebanyak RM1.05 juta untuk pembangunan peranti mudah alih saringan dan pemantauan Covid-19, i-Breath.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, i-Breath merupakan satu prototaip yang boleh membantu dalam usaha mencegah dan mengawal penularan Covid-19 dengan kepantasan keputusan hanya dalam tempoh 20 saat.
Katanya, ia merupakan satu kejayaan baru dalam kaedah ujian Covid-19 selain kaedah Polymerase Chain Reaction (PCR) atau ujian pantas (RTK) antigen yang digunakan pada masa ini.
“Kelebihan i-Breath adalah alat yang dibangunkan dengan teknologi termaju dan ia akan digunakan di tempat yang penting untuk mendapat keputusan pantas sehingga 20 saat bagi mengesan kehadiran Covid-19.
“Ini merupakan satu kemunculan ujian baru dalam mengawal Covid-19 dengan kaedah lebih mudah dan di peringkat sekolah juga ia merupakan satu kaedah baru yang sangat membantu.
“Menurut kajian klinikal Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), sensitiviti peranti i-Breath sehingga 93 peratus dengan hanya perlu bernafas menggunakan peranti mudah alih itu untuk menjana keputusan dalam masa singkat. Kita jangkakan i-Breath dapat dipasarkan tahun depan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Ruang Reka Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) Keluarga Malaysia Parlimen Tenggara dan Showcase Prototaip Peranti i-Breath di Pusat Perkhidmatan dan Transit Pelancongan Batu Ampat, hari ini.
Dr. Adham yang juga Ahli Parlimen Tenggara berkata, kaedah itu kini dalam peringkat prototaip dan kini dalam proses trial klinikal .
“Dengan dana diberikan kepada akademia Universiti Teknologi Malaysia (UTM), mereka dapat bangunkan satu kaedah menguji kehadiran Covid-19 dengan pantas melalui i-Breath. Kita tunggu enam bulan untuk disahkan, selepas itu ia akan diuji oleh Kementerian Kesihatan dan universiti supaya dapat hasilkan satu produk bertaraf antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, Dr. Adham berkata, ruang reka di Parlimen Tenggara itu dilengkapi dengan dapur pintar yang pertama di Malaysia yang telah direalisasikan oleh Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) merangkumi alatan automasi dan mesin daripada ekosistem inovasi YIM bagi membantu penghasilan makanan dan pengkomersialan produk tradisional.
“Kita akan buka ruang reka dapur pintar di Bera, Pahang dan Kota Kinabalu, Sabah. Perkara ini dalam peringkat permulaan namun kita lihat keberkesanannya kerana ia bukan hanya dilaksanakan di negara kita tetapi sudah dilakukan di negara luar.
“Mosti yakin ruang reka dan dapur pintar ini mampu melahirkan lebih ramai innovators dan usahawan selain inisiatif ini dapat memacu pertumbuhan STIE serta pembangunan usahawan inovasi bagi merealisasikan hasrat kerajaan dalam memperkasa program Social Innopreneurship,” katanya. – UTUSAN