Perak negeri perintis program paya bakau habitat pembiakan ikan - Utusan Malaysia

Perak negeri perintis program paya bakau habitat pembiakan ikan

KOMUNITI nelayan turut membantu menanam anak pokok bakau pada program pemuliharaan paya bakau sebagai habitat pembiakan ikan di Tanjung Kepah, Parit Haji Dollah, Lekir di Lumut hari ini. - UTUSAN/IHSAN JABATAN PERIKANAN PERAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Jabatan Perikanan berhasrat melaksanakan program pemuliharaan paya bakau sebagai habitat pembiakan ikan di seluruh negara tahun depan sebagai usaha memperbanyak sumber habitat marin dan kelestarian alam sekitar.

Sehubungan itu, jabatan tersebut akan melakukan kerjasama terancang dengan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia bagi melaksanakan program itu termasuk mengenal pasti lokasi sesuai, kos dan tenaga kerja terlibat.

Timbalan Ketua Pengarah Perikanan, Mohd. Mohtar Mahamud berkata, setakat ini Perak menjadi negeri perintis program tersebut menerusi penanaman 10,450 pokok bakau di kawasan Teluk Rubiah, Kuala Gula dalam daerah Kerian serta Tanjung Kepah, Lekir di Manjung.

“Menerusi program ini, bukan sahaja dapat memperbanyak bilangan hutan paya bakau sebagai tempat pembiakan pelbagai jenis hidupan laut seperti ketam, ikan, udang, siput dan kerang tetapi mencambahkan organisme lain sebagai rantaian makanan hidupan laut.

“Hutan paya bakau juga menjadi zon penampan bagi mengekang hakisan pantai serta kejadian tsunami,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program tersebut di Tanjung Kepah, Parit Haji Dollah, Lekir, dekat sini hari ini.

Dalam program itu, sebanyak 350 anak pokok Bakau Kurap ditanam di Tanjung Kepah dengan sasaran 5,000 keseluruhan pokok tersebut ditanam di sepanjang pantai itu.

Menurut Mohd. Mohtar, hutan paya bakau dikenal pasti adalah lokasi dalam lingkungan 500 meter dari pantai tetapi tidak semua hutan tersebut sesuai dijadikan sebagai habitat pembiakan ikan.

Justeru jelasnya, kajian dan perancangan akan dilakukan dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia bagi mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk program itu di seluruh negara.

Menurutnya, pokok Bakau Kurap didapati sesuai untuk program itu kerana akarnya lebih kuat ketika berdepan ombak dan angin kencang manakala Bakau Minyak sesuai untuk lokasi agak jauh sedikit dari pantai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya