PUTRAJAYA: Jumlah pendaratan penyu di sekitar pantai Terengganu didapati melonjak sebanyak 68 peratus dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini berbanding tahun lalu.
Menurut hantaran Jabatan Perikanan, sejumlah 3,783 ekor penyu dikesan mendarat di negeri itu untuk bertelur meliputi 3,780 ekor jenis penyu agar dan baki tiga penyu karah.
Malah agensi berkenaan melalui kenyataan ringkas dalam laman sosial rasminya memaklumkan, berlaku pertambahan pendaratan penyu di seluruh negara awal tahun ini.
“Justeru, ayuh kita bersama-sama terus menjaga kebersihan pantai agar segala ekosistem hidupan marin dapat terpelihara dengan lebih baik,” pesan nasihat jabatan tersebut.
Menerusi infografik dimuat naik agensi itu, ia membuat perbandingan tempoh sama pada tahun lepas hanya 2,583 ekor dan tahun sebelumnya 2,573 ekor direkodkan di Terengganu.
Antara faktor yang banyak membantu peningkatan itu ialah disebabkan kekurangan trafik bot pelancong ke pulau peranginan dan gangguan manusia tidak bertanggungjawab di pantai.
Terengganu turut muncul sebagai negeri paling tinggi pendaratan penyu dari 2016 sehingga 2019 dengan merekodkan sebanyak 25,106 ekor, sebahagian besarnya dari jenis agar dan ini diikuti Melaka yang mencatatkan sejumlah 2,087 ekor untuk tempoh empat tahun tersebut selain Pahang (1,535), Johor (1,023), Perak (347), Kedah (186) dan Negeri Sembilan (113).
Terdapat empat jenis penyu yang lazim mendarat di negara ini iaitu belimbing, agar, karah dan lipas.
Demi keselamatan haiwan itu, masyarakat dinasihatkan lebih berhati-hati ketika melancong di tempat yang menjadi habitat penyu bagi tujuan melindungi dan memelihara keberadaannya yang mana spesies ini tidak boleh dipancing, diganggu, diusik, ditangkap atau diambil kerana ia jelas menyalahi perundangan di bawah Seksyen 27, Akta Perikanan 1985.
Pengusaha pelancongan tempatan turut dilarang keras menganjurkan pakej sentuh penyu kerana ia adalah salah dan boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM20,000 kerana penyu digolongkan sebagai kelas reptilia jenis vertebrata atau bertulang belakang.