Penternak ikan gusar makanan ikan naik harga - Utusan Malaysia

Penternak ikan gusar makanan ikan naik harga

MOHD. Sufian Sulaiman (dua dari kanan) ketika Program Penyerahan Input Dana Jaminan Makanan (DJM) kepada Penternak Negeri Sembilan dekat Terachi, Kuala Pilah hari ini. - UTUSAN/AFIFI HAFIZ MOHD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Golongan penternak akuakultur di Negeri Sembilan mengeluh berikutan kenaikan harga makanan ternakan itu sejak kebelakangan ini sehingga meningkatkan kos operasi mereka.

Penternak ikan keli dan puyu, Khairul Anuar Md. Piah, 34, berkata, kenaikan harga makanan ikan (pallet) itu mula disedari mengalami kenaikan sedikit demi sedikit bermula sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lepas.

Katanya, baru-baru ini harga pallet ikan meningkat di antara RM3 hingga RM5 untuk setiap kampit 20 hingga 25 kilogram (kg).

“Pada kebiasaannya saya memerlukan satu kampit makanan ikan sehari untuk keperluan 5,000 hingga 6,000 ekor ikan.

“Namun, sejak harga naik saya terpaksa menyukat dan hanya menggunakan setengah kampit sehari dan tambahan penggunaan daun pucuk ubi sebagai makanan alternatif untuk ikan yang diternak,” katanya.

Khairul Anuar ditemui pemberita pada Program Penyerahan Input Dana Jaminan Makanan (DJM) kepada Penternak Negeri Sembilan dekat Terachi di sini hari ini.

Program tersebut dirasmikan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Perikanan, Mohd. Sufian Sulaiman.

Menurut Khairul Anuar, dia mengakui terkesan dengan kenaikan harga tersebut kerana menternak ikan merupakan sumber pendapatan utamanya.

“Saya harap kerajaan dapat mengawal harga makanan ikan ini kerana ia sangat menjejaskan penternak ikan,” katanya yang mengusahakan kolam ternakan ikannya di Port Dickson.

Seorang lagi penternak ikan, Saiful Azam Nordin, 48, pula berkata, dia kini menanggung kenaikan kos sebanyak RM25 sehari berikutan kenaikan harga makanan ikan itu.

“Saya menggunakan lima kampit makanan ikan bersaiz 25kg setiap hari untuk ikan keli yang dibela di Lenggeng, Seremban. Ada penjual yang menaikkan harga sehingga RM5 setiap kampit jadi saya menanggung kos tambahan sebanyak RM25 sehari sekarang,” jelasnya.

Sementara itu, seramai 30 orang pengusaha kecil projek akuakultur di negeri ini menerima bantuan DJM berjumlah keseluruhan sebanyak RM530,407.

Mohd. Sufian berkata, semua pengusaha itu menerima bantuan DJM berbentuk input ternakan dan peralatan seperti makanan ikan, paddle wheel, submersible pump, paip PVC, jaring menangkap ikan, dan set solar.

“Kami berharap agar pengusaha dapat memanfaatkan segala bantuan yang diberikan dan menggunakan dengan sebaliknya bagi meningkatkan pendapatan isi rumah masing-masing,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN