PUTRAJAYA: Tempat kerja terus mencatatkan jumlah terbanyak iaitu empat daripada lima kluster Covid-19 hari ini, diikuti satu kluster pendidikan tinggi.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, tempat kerja melibatkan Negeri Sembilan, Melaka, Perak dan Kuala Lumpur, masing-masing satu kluster.
“Satu kluster pendidikan tinggi di Segamat, Johor dengan 46 kes positif daripada 97 orang yang disaring.
“Jumlah terbabit menjadikan keseluruhan kluster aktif sebanyak 307 kluster manakala 5,510 kluster yang telah tamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, Malaysia mencatatkan peningkatan kes positif Covid-19 iaitu 5,403 kes berbanding semalam, 4,543 kes sekali gus diatasi 5,311 kes sembuh.
Selain itu, katanya, sebanyak 545 kes Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 270 kes memerlukan Alat Bantuan Pernafasan (ABP).
“Daripada 5,403 kes harian yang dilaporkan, 102 kes (1.9 peratus) adalah kategori tiga, empat dan lima.
“Bakinya, 5,301 kes (98.1 peratus) adalah terdiri daripada kategori satu dan dua,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan kematian, Malaysia semalam, mencatatkan peningkatan jumlah kematian yang dilaporkan iaitu 58 kes berbanding kelmarin, 35 kes.
Rekod terbabit adalah setakat pukul 7 petang, hari ini berdasarkan maklumat dikemas kini melalui laman web, https://covidnow.moh.gov.my menjadikan keseluruhan kes terkini sebanyak 29,349 kes.
Bagi kes kematian yang dibawa ke hospital (BID), sebanyak lapan daripada 58 kes dengan jumlah keseluruhan sebanyak 5,932 kes. – UTUSAN ONLINE