BUKIT MERTAJAM: “Sebelum ini, caj untuk satu lori yang boleh memuatkan lebih tiga tan sisa pepejal kami kenakan sebanyak RM180 sahaja kepada pelanggan iaitu dari Bertam di Kepala Batas menuju ke tempat pelupusan sampah di Pulau Burung (Seberang Perai Selatan).
“Tapi, apabila MBSP (Majlis Bandaraya Seberang Perai) mengenakan kadar baharu sebanyak RM70 setan untuk sisa pepejal ini, bermakna kami terpaksa mengenakan caj lebih tinggi iaitu antara RM400 hingga RM450 kepada pelanggan dan ini pastinya akan menyebabkan kami mula dipandang serong oleh orang awam iaitu seperti sengaja mahu mengenakan caj yang mahal.”
Itu antara luahan pengusaha lori sampah yang juga Ketua Kumpulan Kebajikan Pemandu-Pemilik Lori Sampah Seberang Perai, Arif Ibrahim ketika mengadakan bantahan secara aman bersama beberapa pemandu dan pengusaha lori sampah lain di hadapan bangunan MBSP, hari ini.
Bagaimanapun, hasrat kumpulan pengusaha dan pemandu lori itu untuk berhimpun lebih ramai tidak dibenarkan oleh pihak polis kerana bimbang akan menyebabkan prosedur operasi standard (SOP) gagal dipatuhi oleh peserta.
Dalam pada itu, Arif ketika bercakap kepada pemberita memberitahu, peningkatan caj lebih dua kali ganda itu juga pastinya akan membebankan pengguna dan pelanggan mereka sekali gus menjejaskan perkhidmatan yang mereka tawarkan ketika ini.
“Disebabkan itu juga, hari ini kami, yang secara keseluruhannya melibatkan 50 buah lori sampah akan mengadakan mogok sepanjang jalan masuk menuju ke Pulau Burung sehingga bantahan kami mendapat perhatian daripada pihak MBSP,” katanya.
Jelas Arif, selain isu kenaikan harga sisa pepejal itu, bantahan juga dibuat berikutan cadangan MBSP untuk memasang peranti penjejak Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) di kenderaan mereka.
“Apa undang-undang yang mereka (MBSP) gunakan untuk memasang GPS pada kenderaan milik persendirian seperti kami?
“Kami membuat pekerjaan mengutip sampah di kilang-kilang atau rumah ke rumah sahaja dan kami tidak ada kena mengena untuk mengutip sampah daripada pihak kerajaan,” katanya.
Tambahnya, walaupun cadangan itu belum dilaksanakan, namun mereka telah dinasihatkan bersedia sekiranya dilarang meneruskan operasi seperti biasa jika gagal mematuhi peraturan tersebut.
Arif berkata, isu lain yang dibangkitkan ialah masalah tempat pelupusan sampah di Pulau Burung yang disifatkan sangat teruk dan tidak sesuai jika dibandingkan dengan beberapa tempat pelupusan sampah lain seperti di Kulim, Kedah dan Taiping, Perak.
Katanya, situasi itu amat berbahaya kepada pemandu-pemandu lori dan pekerja-pekerja MBSP kerana beberapa kejadian tidak diingini seperti kemalangan dan masalah tayar lori yang kerap tersangkut sering berlaku.
Tambahnya, sebelum ini juga, hanya caj sebanyak RM20 dikenakan untuk bayaran masuk ke tempat pelupusan sampah itu sepanjang hari, namun di bawah peraturan baharu, mereka akan dikenakan caj sebanyak RM10 untuk setiap kali kemasukan dalam masa sehari.