SHAH ALAM: Seorang pengurus syarikat kawalan keselamatan ditahan reman lima hari bermula hari ini oleh Mahkamah Majistret di sini, bagi membantu siasatan kes meminta rasuah berjumlah hampir RM1 juta untuk ‘menutup mulut’ kematian seorang pekerja asing akibat Covid-19.
Perbuatan suspek dipercayai dilakukan antara Julai hingga September tahun ini.
Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Mohamed Redza Azhar Rezali selepas membenarkan permohonan Suruhnajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut sumber, suspek berusia 50 tahun itu ditahan di sebuah lokasi di Kuala Lumpur pukul 5 petang semalam sebelum dibawa untuk tahanan reman hari ini.
Katanya, lelaki itu bekerja sebagai pengurus syarikat kawalan keselamatan dan mula menjaga kilang terbabit pada 2010.
“Suspek disyaki meminta rasuah berjumlah RM800,000 secara tunai dan online bagi menutup mulut kerana pekerja asing di kilang tersebut mati akibat Covid-19.
“Suspek juga dipercayai meminta wang tambahan RM120,000 daripada pemilik syarikat kononnya untuk diberikan kepada pihak berkuasa supaya tidak mengambil tindakan menggaji pekerja tanpa permit,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009. – UTUSAN ONLINE