SEREMBAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Negeri Sembilan akan menawarkan pengurangan kompaun saman trafik dengan diskaun sehingga 50 peratus.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintenden Shafiei Muhammad berkata, tawaran diskaun tersebut akan bermula pada 29 November sehingga 8 Disember ini di semua Ibu pejabat Polis Daerah (IPD).
Bagaimanapun katanya, tawaran tersebut tidak termasuk bagi kesalahan tidak mematuhi lampu isyarat merah, kesalahan lorong kecemasan, kesalahan potong secara berbahaya dan kesalahan potong di garisan kembar.
“Turut tidak diberikan tawaran diskaun adalah kesalahan membabitkan kemalangan, kesalahan yang masih dalam perbicaraan, kesalahan tidak boleh kompaun, kesalahan berkaitan kenderaan berat serta kesalahan pengubahsuaian ekzos yang dilakukan pada tahun lalu.
“Sepanjang tempoh berkenaan berlangsung, orang ramai juga dinasihatkan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan ketika berurusan di kaunter pembayaran saman. Kaunter pembayaran saman di semua daerah akan dibuka bermula pukul 9 pagi sehingga 4 petang kecuali pada Sabtu dan Ahad,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu menurut Shafiei, tawaran pengurangan bayaran saman tersebut bertujuan membantu orang ramai yang terkesan dalam situasi pandemik Covid-19 agar dapat membayar saman-saman yang tertunggak bagi mengelakkan mereka di senarai hitam pada masa hadapan.