Enam penuntut UPNM dipenjara 18 tahun sebabkan kematian Zulfarhan tanpa niat - Utusan Malaysia

Enam penuntut UPNM dipenjara 18 tahun sebabkan kematian Zulfarhan tanpa niat

ZULKARNAIN Idris (tengah) bersama isteri, Hawa Osman dan anak, Zulhelmie Idros ketika penghakiman enam penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di Kuala Lumpur. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) selepas didapati bersalah menyebabkan kematian tanpa niat Pegawai Kadet Laut universiti itu, Zulfarhan Osman Zulkarnain, empat tahun lalu.

Mereka terdiri daripada Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd. Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd. Ali.

Kesemuanya terlepas hukuman gantung sampai mati selepas Hakim Datuk Azman Abdullah membebaskan mereka daripada tuduhan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mengubah sabitan di bawah Seksyen 304(a) kanun sama.

Hakim Azman turut menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap lima daripada enam penuntut (kecuali Mohamad Shobirin) bersama 12 yang lain selepas mendapati mereka bersalah mencederakan Zulfarhan, 21. Hukuman berkuat kuasa serentak.

Mereka ialah Mohd. Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala dan Luqman Hakim Shamsuri.

Tertuduh lain Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Ady Sany dan Mohamad Syazwan Musa.

Hakim Azman ketika membacakan keputusannya berkata, kecederaan akibat 90 tekapan seterika wap menyebabkan kematian Zulfarhan, namun perbuatan itu tidak terjumlah kepada niat membunuh dengan sengaja di bawah Seksyen 300 kanun itu, sebaliknya di bawah Seksyen 299.

Beliau berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan tanpa keraguan munasabah bahawa mereka dengan niat bersama manakala tertuduh keenam bersubahat menyebabkan kematian Zulfarhan tanpa niat membunuh.

Pada hemat beliau, keterangan perubatan berhubung 90 kesan tekapan seterika pada tubuh mangsa kecuali pada bahagian muka dan belakang tapak tangan menunjukkan ketelitian individu yang menekapnya kerana jika mangsa masih hidup sekali pun, parut itu tidak akan kelihatan jika dia memakai baju berlengan panjang.

Mahkamah berpendapat, keterangan bela diri menunjukkan hanya lapan tekapan diakui manakala 82 lagi tidak diakui manakala individu yang menekap alat sulit mangsa tidak dapat disahkan.

Dalam penghakimannya, Hakim Azman turut menyentuh rentetan kejadian sebelum Zulfarhan meninggal dunia yang bermula dengan kehilangan komputer riba tertuduh pertama yang kemudiannya membawa kepada ramalan seorang bomoh bahawa mangsa yang mencurinya.

Beliau turut menyelar sikap saksi pendakwaan ke-15, seorang jurulatih berpangkat Kapten yang disifatkannya ‘pendek akal’ kerana tidak menggunakan peluang untuk menyelamatkan Zulfarhan sebaliknya memviralkan kandungan surat layang berhubung identiti pihak yang sakit yang disebut dalam surat layang itu.

Menurut beliau, Zulfarhan juga masih boleh selamatkan jika doktor klinik swasta di Bangi campur tangan dengan menghubungi pihak polis jika mengesyaki pesakit didera dan tidak membabi buta mempercayai mangsa terlibat dalam letupan ketika latihan sehingga terkena semua bahagian tubuh termasuk zakar dan testis, bukan bahagian muka.

Hakim Azman turut memutuskan kesemua 17 tertuduh gagal menimbulkan keraguan yang munasabah kepada kes pendakwaan dan mendapati mereka bersalah mendatangkan kecederaan terhadap pegawai kadet itu secara bersama bertujuan mendapatkan pengakuan dia mencuri komputer riba.

Ketika membacakan keputusannya beliau menyatakan, tiada siapa dapat membuktikan bahawa Zulfarhan yang mencuri komputer riba tersebut ketika mangsa dipukul beramai-ramai.

Beliau menyatakan, keterangan saksi-saksi mengaku Zufarhan menjerit setiap kali dicucuh dengan seterika wap namun tidak melawan dan perbuatan itu bertujuan mengajarnya.

Ujarnya, wujud keterangan bahawa beberapa tertuduh mengumpul wang sesama sendiri hingga mencecah RM1,000 untuk membayar dua kos rawatan di klinik swasta.

Namun Hakim Azman berpendapat, jika Zulfarhan tidak mengalami kecederaan parah, mangsa tidak perlu dibawa ke klinik sebanyak dua kali kerana kos rawatan setiap kunjungan sebanyak RM500 amat tinggi berbanding hospital kerajaan atau klinik UPNM.

Kesalahan menyebabkan kematian Zulfarhan tanpa niat dilakukan di sebuah bilik di blok penginapan Asrama Jebat, UPNM antara pukul 4.45 pagi dan pukul 5.45 pagi, 22 Mei 2017.

Perbuatan mencederakan Zulfarhan pula dilakukan di dalam sebuah bilik blok penginapan Asrama Jebat universiti itu di Kem Perdana, Sungai Besi antara pukul 2.30 pagi dan pukul 5.30 pagi 21 Mei 2017.

Mahkamah membenarkan pelaksanaan hukuman penjara 18 tahun bagi keenam-enam penuntut ditangguhkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan sementara hukuman penjara tiga tahun bagi kesemua 17 orang berkuatkuasa hari ini.

Pendakwaan diwakili Pengarah Pendakwaan Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datin Kalmizah Salleh dan Timbalan Pendakwa Raya Joy Jothi.

Pasukan peguam bela terdiri daripada Amer Hamzah Arshad, Datuk Seri M. Ramachelam, Datuk Ranjit Singh Dhillon, Datuk Hazman Ahmad, Zamri Idrus, Fadly Hashim dan Datuk Hazizah Kassim.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN