IPOH: Polis menahan seorang lelaki di Simpang, Taiping Jumaat lalu berikutan penemuan mayat wanita yang telah reput di tepi Sungai Jebong, Kuala Sepetang dekat Taiping pada Rabu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, lelaki tempatan berusia 34 tahun itu ditahan pada pukul 9.30 pagi selepas dua hari penemuan mayat mangsa.
Katanya, mayat wanita itu ditemukan seorang pemandu lori setelah menjumpai tulang disyaki kaki manusia dalam keadaan tidak sempurna dan reput pada pukul 5.30 petang.
“Hasil siasatan lanjut oleh pasukan forensik menjumpai bungkusan kain yang ditanam di kawasan berhampiran.
“Di dalam bungkusan kain batik, selimut dan sejadah itu terdapat rangka tulang dipercayai badan manusia dari bahagian kepala hingga pinggang dalam keadaan reput sepenuhnya,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.
Menurut Anuar, bedah siasat yang dijalankan oleh Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) tidak dapat mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa.
Katanya, mangsa dianggarkan mati dalam tempoh antara dua atau empat minggu lalu.
“Bertindak atas maklumat, kita telah menangkap seorang lelaki yang juga orang pengawasan polis (OPP) yang didapati melanggar syarat pengawasan di bawah Seksyen 15(4) Akta pencegahan Jenayah 1959.
Katanya, berdasarkan soal siasat, lelaki terbabit mengaku bergaduh dengan wanita berusia 31 tahun yang juga teman wanitanya di sebuah rumah sebelum memukul mangsa sehingga mati.
“Suspek telah membawa polis ke lokasi di mana mangsa dibunuh dan ditanam. Suspek mengaku mencekik dan memukul kepala mangsa menggunakan kayu mop.
“Semakan mendapati suspek mempunyai 21 rekod lampau bersabit kes jenayah dan empat rekod kes dadah,” katanya.
Tambah beliau, suspek yang tidak bekerja itu ditahan reman sehingga 6 November ini untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Kertas siasatan yang lengkap akan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk arahan selanjutnya,” katanya. – UTUSAN ONLINE