BATU KAWAN: Penduduk di Pulau Aman di sini teruja selepas dikejutkan dengan kehadiran doktor dan sekumpulan jururawat untuk membuat pemeriksaan di kediaman mereka pagi ini.
Rata-rata mereka berusia antara 20 hingga 54 tahun itu meluahkan rasa terharu kerana pertama kali dikunjungi kumpulan perubatan itu menerusi Program Kampung Angkat Pergigian sempena Minggu Kesedaran Kanser Mulut 2021.
Penganjuran program pertama kali itu diketuai Pegawai Pergigian, Dr. Muhammad Hafiz Yaakob bersama 15 kakitangan termasuk pegawai dari Klinik Pergigian Daerah Seberang Perai Selatan.
Seorang penduduk, Salwa Mad Saad, 54, yang lumpuh separuh badan berkata, dia tidak menyangka kediamannya akan dikunjungi sekumpulan jururawat bagi menjalani pemeriksaan gigi.
“Sudah bertahun tidak periksa gigi setelah lumpuh sejak 10 tahun lalu. Terkejut sebaik doktor mai (datang) depan pintu rumah dan memperkenalkan diri sebelum meminta memeriksa gigi.
“Pertama kali doktor periksa gigi di rumah dan kami tak perlu seberang laut menaiki bot untuk ke klinik,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu seorang lagi penduduk, Sarina Harun, 54, pula memberitahu, dia menyambut baik program angkat yang julung kali diadakan di Pulau Aman itu.
“Ini sememangnya memberi satu kemudahan buat kami dan tidak perlu lagi mengambil masa lama untuk ke klinik gigi yang terletak di tanah besar.
“Anak dan dua cucu gembira dapat periksa gigi percuma dan mempelajari cara menggosok gigi yang betul dan sebagai persiapan awal sebelum sesi persekolahan dibuka pada 22 November ini,” ujarnya.
Program Kampung Angkat Pergigian itu bertujuan meningkatkan taraf kesihatan pergigian dalam kalangan komuniti kampung selain memastikan maklumat perkhidmatan kesihatan dapat disampaikan secara berterusan. – UTUSAN