BUKIT MERTAJAM: Keengganan warga emas dan golongan sasar yang berisiko tinggi untuk mendapatkan dos penggalak vaksin menyukarkan usaha kerajaan negeri menangani virus Covid-19.
Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan negeri, Dr. Norlela Ariffin berkata, jarak hospital yang jauh juga menjadi antara alasan penerima menolak suntikan dos penggalak.
“Berdasarkan maklumat yang diterima, ada penerima yang kata susah untuk mendapatkan parkir dan lalu-lintas yang sesak di kawasan hospital menyukarkan mereka untuk datang.
“Segelintir individu juga tidak menjawab panggilan janji temu hospital dan klinik, selain turut memberikan alasan yang mereka sihat dan tidak memerlukan dos penggalak.
“Tambahan lagi, keraguan penerima yang tidak mahu disuntik dos penggalak campuran menjadi cabaran untuk kita meyakinkan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Cek Tabung Bantuan Pelajar Covid-19 di Icon City, di sini hari ini.
Pada majlis sama, Lions Club of Bayan Baru menyerahkan sumbangan sebanyak RM111,000 kepada 111 pelajar yang kehilangan ibu atau bapa akibat Covid-19.
Sehingga kini, Pulau Pinang masih berada di tangga kelima terbawah untuk negeri yang menerima dos penggalak.
Sehubungan itu Norlela berkata, sebanyak 74 buah klinik dan lapan hospital swasta telah dijadikan pusat pemberian suntikan dos penggalak tambahan daripada 47 buah fasiliti sedia ada.
“Untuk bahagian pulau, kita ada tambahan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dos penggalak di Sunshine Square yang boleh memberi suntikan dengan kapasiti 1,500 dos sehari,” katanya. – UTUSAN